
4 mahasiswa & pegawai UPSI jadi imam di luar negara sepanjang Ramadan! 'Ini satu penghormatan besar buat kami'
Seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi rasa bangga dan terharu atas pemilihan empat mahasiswa dan pegawai mereka sebagai imam sepanjang Ramadan 2025.
Mereka akan menggalas tugas imam dalam program Qari in Residence di tiga negara pada bulan puasa ini sekali gus mengharumkan nama institusi berkenaan di peringkat antarabangsa.
Empat mahasiswa itu iaitu Muhammad Badrul Amin Derome, Muhammad Fathmi Izwan Rusli, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan di UPSI.
Muhammad Badrul Amin dipilih untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom dan Muhammad Fathmi Izwan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia.
Manakala Wan Muhammad Irsyad dan Ahmad Najmuddin pula akan menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura.
Seterusnya, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail bakal mengimamkan solat tarawih di Perth, Australia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan penuntut yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
"Kami sangat bangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.
"Pemilihan mereka adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan mahasiswa dan kakitangan kami," ujarnya.
Beliau berkata, pengalaman berkenaan pastinya akan memberikan impak positif kepada peserta dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.
"Menjadi imam di negara asing bukanlah tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran berbeza.
"Namun saya yakin, pengalaman ini akan menjadikan mereka matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak," katanya.

Tuturnya lagi, program sebegini membantu memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan institusi keagamaan antarabangsa sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pendidikan Islam.
"Kami melihat ia sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara.
"Ini juga selari dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat tempatan tetapi juga mampu membawa nama negara ke persada antarabangsa," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengalaman yang diperoleh oleh para peserta bukan sahaja terhad kepada aspek keagamaan tetapi turut memberi pendedahan kepada mereka tentang realiti kehidupan umat Islam di luar negara.
"Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam sahaja sebaliknya akan menjadi duta kecil yang memperkenalkan keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar," ujar Norkhalid.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Profesor Dr Azmil Hashim memberitahu, pemilihan empat mahasiswa dan pegawai universiti merupakan satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan penuntut cemerlang akademik tetapi juga dalam bidang keagamaan.
"Pemilihan ini membuka ruang kepada mereka untuk mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.
"Pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai penuntut UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at dan merebut peluang mengembangkan kemahiran mereka di peringkat antarabangsa.
"Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk menyertai program-program seumpama ini pada masa hadapan,” katanya.
Maklumat Penulis:
Pegawai Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, UPSI, Bazli Abdul Razak
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my