
Mahasiswa USIM terpilih jadi imam solat tarawih di New Zealand
Mahasiswa Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah tersendiri apabila diberi kepercayaan menjadi imam solat tarawih di Masjid Manukau Islamic Youth Centre, Auckland, New Zealand.
Muhammad Hanif Zakaria, 24, terpilih untuk menjadi imam di sana selepas lulus temu duga pemilihan menyertai Program Mobiliti Antarabangsa.
Pemuda kelahiran Kelantan yang mengikuti pengajian dalam program Qiraat ini menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan kerana persaingan yang sengit dalam sesi temu duga.
"Terkejut juga tetapi saya sangat bersyukur kerana ini peluang keemasan, sekali seumur hidup.
"Saya telah memulakan tugas sebagai imam tarawih bermula 2 lalu hingga 26 Mac ini," katanya pada Rabu.
Selain memimpin solat, Muhammad Hanif turut mengajar al-Quran kepada jemaah setempat menjadikan pengalamannya di bumi Auckland lebih bermakna.

Katanya, bertugas di negara asing bukan sesuatu yang mudah dan dia perlu memastikan hafazannya lancar bagi memimpin solat dengan sempurna.
"Menariknya, ini merupakan pengalaman pertama saya di pentas antarabangsa, menjadikan tanggungjawab ini lebih mencabar namun penuh dengan pelajaran berharga," katanya.
Sebagai wakil pertama USIM yang berkhidmat di New Zealand, Muhammad Hanif berharap penglibatannya menjadi pembuka jalan kepada penuntut lain pada masa akan datang.
"Saya mahu menjadi perintis. Semoga selepas ini lebih ramai mahasiswa USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan," ujarnya yang berlepas ke negara berkenaan pada 26 Februari lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Hanif tidak lupa akan pesanan ibu bapanya yang juga pesara guru agar menjaga diri, menghormati masyarakat setempat dan membawa nama baik keluarga serta USIM di peringkat antarabangsa.
Kisah inspirasi Muhammad Hanif membuktikan bahawa ilmu al-Quran tidak mengenal sempadan dari Kota Bharu ke Auckland, dia kini menggalas amanah besar sebagai duta kecil USIM menyebarkan syiar Islam di luar negara.