Inilah empat pensyarah Kolej FELCRA yang meraih Anugerah Perak di iRISE & MJIC 2025 sekali gus banggakan institusi!
Inilah empat pensyarah Kolej FELCRA yang meraih Anugerah Perak di iRISE & MJIC 2025 sekali gus banggakan institusi!

4 pensyarah banggakan Kolej FELCRA

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Mar 2025 03:26pm

Empat pensyarah dari Kolej FELCRA, Kampung Gajah, Perak mengharumkan nama institusi apabila berjaya merangkul Anugerah Perak dalam International Research & Information Science Expo 2025 (iRISE 2025) dan Malaysia-Japan International Conference on Nanoscience, Nanotechnology and Nanoengineering 2025 (MJIC 2025) baru-baru ini.

Kejayaan ini diraih oleh Azlizul Abdul Rahim, Muhammad Akhimullah Abd Halim, Emir Azreen Roslin dan Adee Aduka Putra Sobri menerusi kajian inovatif mereka bertajuk Growing Agricultural Minds through Early Childhood Education Module dan Introducing TVET Program (Agriculture) through Early Childhood Education Module.

Kajian berkenaan mengetengahkan pendekatan kreatif dalam mengintegrasikan pendidikan awal kanak-kanak dengan bidang pertanian dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Lebih membanggakan, hasil kajian mereka turut terpilih untuk dibentangkan di 11th Asian Conference on Education & International Development (ACEID) 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.

Pencapaian cemerlang ini bukan sahaja membuktikan kepakaran dan dedikasi para pensyarah Kolej FELCRA dalam bidang penyelidikan, malah menjadi bukti bahawa usaha mereka mampu memberi impak besar dalam kemajuan pendidikan dan sektor pertanian.

Sebagai makluman, Kolej FELCRA merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh FELCRA Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Kolej ini dikendalikan melalui anak syarikatnya, FELCRA Education Services Sdn Bhd.

Ditubuhkan pada 25 Mei 2012, Kolej FELCRA berperanan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu serantau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penubuhannya turut memperkukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan meningkatkan imej FELCRA Berhad sejajar dengan moto kolej iaitu 'Membina Masa Hadapan dengan Pendidikan'.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp