Teknologi retort digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi memastikan ia tahan lebih lama sekali gus mengekalkan rasa dan kualitinya.
Teknologi retort digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi memastikan ia tahan lebih lama sekali gus mengekalkan rasa dan kualitinya.

Pensyarah UTHM kongsi ilmu teknologi retort dengan komuniti Kampung Jawa

25 Mar 2025 10:50am

Bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat, sekumpulan pensyarah Program Teknologi Makanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berkongsi ilmu dengan penduduk Kampung Jawa, Panchor, Johor melalui aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk menggunakan teknologi retort.

Program yang diadakan itu bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat, tetapi juga memperkenalkan teknologi pemprosesan makanan moden yang mampu memanjangkan jangka hayat makanan tanpa penggunaan bahan pengawet.

Penyelaras program, Profesor Ts Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar berkata, teknologi retort digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi memastikan ia tahan lebih lama sekali gus mengekalkan rasa dan kualitinya.

Katanya, proses itu melibatkan pemanasan bubur lambuk dalam bekas kedap udara pada suhu dan tekanan tinggi, menjadikannya selamat untuk disimpan lebih lama tanpa perlu disejukkan.

No Image Caption

"Aktiviti tersebut merupakan salah satu inisiatif Program Teknologi Makanan, UTHM dalam memperkenalkan inovasi pemprosesan makanan kepada masyarakat selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi dalam industri makanan.

"Pihak kami ingin berkongsi ilmu berkaitan makanan tradisional seperti bubur lambuk yang boleh dikomersialkan dengan kaedah moden seperti teknologi retort sekali gus membantu usahawan kecil meningkatkan daya saing produk mereka," ujar beliau.

Selain penyediaan bubur lambuk, Mohd Fadzelly berkata, penduduk Kampung Jawa juga bergotong-royong dalam proses memasak, membungkus dan mengedarkan bubur kepada penduduk setempat termasuklah kepada penduduk sekitar kawasan Panchor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Profesor Madya ChM Ts Dr Hatijah Basri turut menekankan kepentingan teknologi makanan dalam memastikan keselamatan dan ketahanan makanan berada pada tahap yang terbaik.

No Image Caption

"Saya harap program sebegini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat selain dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

"Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan bagi memperkasakan komuniti dengan pengetahuan teknologi makanan sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri makanan halal yang lebih mampan di Malaysia," katanya yang hadir memberi sokongan kepada penganjuran program berkenaan.

Terdahulu, aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk menggunakan teknologi retort turut mendapat kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM yang diketuai oleh Pengarahnya, Profesor Madya Ts Dr Faridah Kormin.

No Image Caption



No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp