Penyampaian pingat emas oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Professor Ir Dr Kaharudin Dimyati (dua dari kiri) kepada Norazilawati (tengah) sempena MTE 2025.
Penyampaian pingat emas oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Professor Ir Dr Kaharudin Dimyati (dua dari kiri) kepada Norazilawati (tengah) sempena MTE 2025.

UPSI raih pingat emas, perak dalam MTE 2025

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Feb 2025 12:00pm

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi penyelidikan pendidikan terkemuka apabila merangkul pingat emas dan perak dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 pada Sabtu.

Pencapaian itu diraih menerusi dua projek inovasi pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a ( pingat emas) serta Program Pensijilan Profesional Guru Takmir (pingat perak).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar menyifatkan kemenangan itu sebagai satu pencapaian besar bagi UPSI dalam memperkukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang mendukung inovasi dalam pendidikan.

"Kejayaan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih para penyelidik tetapi juga membuktikan bahawa institusi kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Anugerah emas dan perak yang diperoleh dalam MTE 2025 menjadi saksi UPSI terus relevan dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi," katanya.

Dari kanan, Saipolbarin, Sakinah, Norazilawati dan Intan Farahana di booth pameran UPSI.
Dari kanan, Saipolbarin, Sakinah, Norazilawati dan Intan Farahana di booth pameran UPSI.

Sementara itu, inovasi Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a dibangunkan lima ahli akademik yang pakar dalam bidang tersebut.

Mereka ialah Ketua Pasukan, Profesor Madya Dr Norazilawati Abdullah (Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM); Dr Sakinah Salleh (Pusat Ulul Albab UPSI dan Fakulti Sains Kemanusiaan); Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa (Pusat Penyelidikan Pembangunan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDRC) dan FPM); Dr Intan Farahana Abdul Rani (NCDRC dan FPM) serta Profesor Madya Dr Aslina Saad (Fakulti Komputeran dan META-Teknologi).

Artikel Berkaitan:

Inovasi turut mendapat sokongan penuh penaung program, Tan Sri Idris Jusoh bersama Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang berperanan memperkasakan penyelidikan dan inovasi UPSI.

Menurut Norazilawati, Kurikulum Thalatha Tis’a melalui pelbagai fasa pembangunan dan penilaian sebelum mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa.

"Kurikulum ini dirangka bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21 dengan mengintegrasikan teknologi pendidikan dan pendekatan pedagogi inovatif dalam pembelajaran hafazan al-Quran.

"Pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan dalam mencetus perubahan positif dalam sistem pendidikan,” ujarnya.

Wakil juri (tengah) bersama Norazilawati (kanan) dan Sakinah semasa melawat booth UPSI pada MTE 2025.
Wakil juri (tengah) bersama Norazilawati (kanan) dan Sakinah semasa melawat booth UPSI pada MTE 2025.

Dalam pada itu, inovasi Program Pensijilan Profesional Guru Takmir yang dibangunkan pasukan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI bertujuan memperkasakan Guru Takmir dengan pengetahuan dan kemahiran lebih mendalam mengenai pengajaran agama Islam di surau dan masjid di seluruh negara.

Menurut ketuanya, Profesor Madya Dr Saipolbarin Ramli, ia dirangka bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang pendekatan pedagogi moden, penggunaan teknologi dalam penyampaian kuliah dan pengetahuan bidang syariah serta fiqh.

"Program Pensijilan Profesional Guru Takmir ini membuktikan UPSI bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan arus perdana tetapi juga berperanan dalam memperkasakan pendidikan Islam secara lebih meluas,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp