Perkhemahan ala alam UPSI buat 52 kanak-kanak
Seramai 52 kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 12 tahun menerima sijil penghargaan setelah berjaya mengikuti penuh kem cuti sekolah anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program yang telah berlangsung pada 12 hingga 16 Februari lalu itu adalah merupakan hasil kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI.
Menurut, Timbalan Pengarah Akademik, NCDRC, Dr Masayu Dzainudin, kem ini sebenarnya memberi ruang dan peluang buat kanak-kanak menikmati percutian sekali gus merasai dunia alam sekitar.
Ia juga membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan perkembangan serta memberi pengalaman baru dan bermakna.
“Penganjuran kem cuti sekolah ini adalah peluang untuk kanak-kanak belajar dan dekat dengan alam.
“Selain dari mereka dapat belajar perkara yang baru, ia juga mampu merangsang perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif, psikomotor dan daya tahan tubuh mereka untuk lebih kuat dan sihat”, katanya.
Tambahnya, konsep perkhemahan berlatar belakangkan alam dibuat agar kanak-kanak ini dapat belajar belajar untuk hidup dilingkungan alam dan memberi ruang untuk mereka meneroka apa yang ada di persekitaran disamping membeti cabaran baru bermalam di khemah tanpa kehadiran tilam empuk dan ibu bapa.
Selain menjalani aktiviti berkhemah, mereka turut berkesempatan belajar menggunakan Kompas semasa meneroka hutan di UPSI Adventure Park.
Hadir sama, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika NCDRC Glamping Night dimana kanak-kanak menikmati permandangan bulan dan bintang serta kehangatan unggun api yang disertai dengan nyanyian dan gelak tawa sesama mereka
“Suka saya lihat apabila pendidik dan mahasiswa bekerjasama menghasilkan pembelajaran luar bilik darjah yang kreatif dan berimpak.
“Di UPSI, kecemerlangan akademik dimulakan dengan jati diri & ‘resilience’ agar mereka cemerlang dalam menempuh leliku kehidupan yang penuh dengan ranjau dan cabaran”, ujarnya
Tambahnya lagi, UPSI adalah pusat pembelajaran luar bilik darjah terbaik yang boleh dinikmati oleh masyarakat setempat dan pastinya ini adalah salah satu bukti bahawa UPSI sentiasa komited dalam meneraju kebitaraan pendidikan yang terbaik demi negara.