
Makan dalam talam, tarikan berbuka di Masjid UPM
Sepanjang Ramadan tahun ini, Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 800 jemaah pada setiap Rabu.
Juadah berbuka puasa berkenaan disediakan secara gotong-royong dengan bantuan sukarelawan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM bermula jam 12 tengah hari.
Menurut Pegawai Psikologi, HSAAS UPM, Rafidah Sadarudin, seramai 16 kakitangan dari hospital itu terlibat dengan kerja-kerja penyediaan bahan, memasak hinggalah menghidang juadah berbuka.
"Alhamdulillah sukarelawan kami terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mengambil tanggungjawab menyediakan juadah berbuka. Usaha seumpama ini melambangkan keutuhan perpaduan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
"Inilah peluang terbaik kita berkongsi rezeki dengan mereka memerlukan lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan. Kita dapat tunjukkan rasa prihatin dengan hati yang ikhlas,” katanya.

Salah seorang komuniti, Noor Dina Mohd Khairudin, 34, berasa sangat gembira dan teruja kerana inilah pengalaman pertama keluarganya mengikuti tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam.
"Di rumah, kami sekeluarga menikmati juadah berbuka puasa menggunakan pinggan di atas meja. Tetapi tradisi berbuka berkonsepkan makan dalam talam ini sudah tidak lagi diamalkan.
"Berbuka dalam talam juga dapat membantu merapatkan ukhwah kita sesama umat Islam yang lain ketika berbuka puasa di masjid," ujarnya.

Bagi Pegawai Pertanian UPM, Khairul Azmi Za’ba, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Islam UPM kerana menyediakan ruang dan juadah untuk berbuka puasa di sini.
"Tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam ini membuatkan anak-anak saya tidak sabar untuk ke masjid.
"Mereka sangat suka tradisi berkenaan kerana ramai kawan dan paling penting kami dapat tunaikan solat tarawih bersama-sama selepas berbuka," katanya.
