
41 pelajar kumpulan pertama terima pangkat Leftenan Muda Paskam UMPSA
Seramai 41 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan pertama menerima pemakaian pangkat Leftenan Muda selepas menamatkan latihan siri pertama Pasukan Kadet Maritim Malaysia (Paskam) universiti itu.
Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda Paskam UMPSA Siri 1/2023 dirasmikan Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Mazlan Mat Rejab dalam majlis penuh istiadat di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts Dr Mohd Rusllim Mohamed; Pengarah Sumber Manusia Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Mohd Hamzah Murgayah Abdullah dan Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Dr Mohd Nizam Mohmad Kahar.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias menyifatkan penglibatan pelajar dalam badan beruniform seperti Paskam merupakan wadah strategik melahirkan graduan holistik memiliki keseimbangan akademik, sahsiah, disiplin dan kemahiran insaniah.
Menurutnya, latihan Paskam bukan sekadar memenuhi keperluan kokurikulum tetapi membina karakter unggul, daya tahan dan kepimpinan yang diperlukan dalam dunia sebenar.
"Kejayaan hari ini permulaan kepada tanggungjawab lebih besar mereka sebagai duta nilai dan kepimpinan UMPSA di persada nasional dan antarabangsa," ujarnya melalui kenyataan pada Sabtu.
Dr Yatimah berkata, program latihan Paskam UMPSA dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM) dan Paskam, Bahagian Sumber Manusia APMM serta Akademi Adab dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMPSA.
Jelasnya, modul latihan turut melibatkan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) yang memberi penekanan kepada disiplin, kepimpinan, pengurusan masa dan kerja berpasukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga pelajar dipilih sebagai penerima Anugerah Kadet Terbaik Paskam Siri 1/2023 iaitu Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan, Anugerah Kadet Terbaik Latihan Luar dan Anugerah Kadet Terbaik Akademik.
"Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan dianugerahkan kepada Leftenan Muda Paskam Nurwaldan Wasiq Khairul Nizar iaitu penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif.
"Anugerah Kadet Terbaik Latihan Luar pula dianugerahkan kepada Leftenan Muda Paskam Muhammad Amirul Hakim Bizun dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses manakala Anugerah Kadet Terbaik dianugerahkan kepada Leftenan Muda Paskam M Eeswarri dari Fakulti Pengurusan Industri," katanya.
Beliau berkata, majlis itu menandakan kejayaan fasa pertama Paskam di UMPSA dan diharap dapat terus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berperanan aktif sebagai agen perubahan dan pemimpin masa hadapan.
Sementara itu, Mazlan menyifatkan penubuhan Paskam di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang tugas dan tanggungjawab Maritim Malaysia di samping membentuk jati diri dan kepimpinan generasi muda untuk masa depan negara.
Beliau berkata, menjaga keselamatan perairan negara bukan hanya tanggungjawab agensi itu semata-mata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pelajar dan masyarakat.
"Ke arah matlamat itu, Paskam menjadi platform memupuk kesedaran isu maritim dan semangat cintakan negara," katanya.