63 mahasiswa MMU tanam anak pokok bakau di Kuala Selangor
Seramai 63 mahasiswa Universiti Multimedia (MMU) menyertai aktiviti penanaman anak pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini bagi membantu memulihara ekosistem alam sekitar.
Pada acara itu, siswa kampus tersebut turun padang menanam benih pokok bersama penuntut universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program berkenaan dijalankan di bawah Green Shoots Initiative oleh UMW Holdings Berhad (UMW) yang bermatlamat memulakan usaha pemeliharaan alam sekitar yang akhirnya menyasarkan sebanyak 300,000 anak pokok bakau ditanam menjelang penghujung tahun 2023.
Turut serta menjayakan acara berkenaan adalah kakitangan UMW, Yayasan Sukarelawan Siswa, Yayasan Hijau Malaysia, Malaysian Nature Society dan Astro serta barisan penuntut daripada Kelab Kejuruteraan dan Institute for Electrical and Electronics Engineers (IEEE) MMU Cawangan Pelajar dan Sukarelawan MMU.
Menurut Koordinator Acara bagi MMU, Lim Min Ying, siswa universiti itu berpeluang menanam lebih 700 anak pokok bakau.
Jelas beliau, program berkenaan telah meningkatkan kesedaran tentang kemampanan alam sekitar dalam kalangan penuntut.
Sementara itu, mahasiswa jurusan Komunikasi MMU, Hoormila Nahoora berkata, acara tersebut memberi satu kelainan kepadanya.
“Menanam anak pokok bakau adalah pengalaman menarik bagi saya.
“Kami mempelajari cara yang betul untuk menanam anak pokok selain mempelajari kepentingan tanaman ini dan ia adalah suatu pendidikan yang amat bernilai buat kami,” ulasnya.