Mat Sentol (kiri) diumum penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia MMU. Ain Akashah (kanan) merupakan cucu kepada beliau.
Mat Sentol (kiri) diumum penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia MMU. Ain Akashah (kanan) merupakan cucu kepada beliau.

MMU iktiraf jasa Mat Sentol

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Dec 2023 10:05am
A
A
A

“Kami sekeluarga terharu dan berterima kasih kerana masih ada yang mengingati datuk saya.”

Demikian kata Ain Akashah Rosarif, 26, cucu kepada Abdul Rasip Yahya atau Mat Sentol yang mewakili datuknya untuk menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2023, baru-baru ini.

Menurut Ain Akashah, datuknya tidak dapat hadir pada majlis tersebut akibat keuzuran dan masalah kesihatan.

“Bapa saudara saya, Roslee Rashid, 61, yang menetap di Johor menghubungi dan meminta saya untuk hadir menerima anugerah ini bagi pihak datuk.

"Di sini, saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada MMU atas penganugerahan yang diberikan,

“Pengiktirafan ini pastinya akan menjadi kenangan buat kami sekeluarga terutama dalam mengenang usaha dan kegigihan datuk sepanjang terbabit dalam bidang seni,” ujarnya.

Terdahulu, MMU menganugerahkan Anugerah Kehormat Permata Dunia kepada pelakon lagenda Mat Sentol, 90, sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang kreatif dan senimatik negara sejak era 1950-an.

Anugerah itu diserahkan kepada Ain Akashah oleh Pro-Canselor MMU, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid pada majlis konvokesyen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Mat Sentol merupakan lagenda yang dikenali ramai atas daya kreativitinya menghasilkan beberapa filem seperti Mat Bond dan Mat Magic walaupun ketika itu tiada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) seperti hari ini.

Mat Sentol memulakan penglibatannya dalam kerjaya lakonan dengan memainkan watak tambahan dalam filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar pada tahun 1956 sebagai Penari Istana Pahang.

Selain berlakon dan mengarah, beliau juga berbakat dalam bidang animasi, penulis skrip drama dan filem, jurusolek artis dan penggunaan kesan khas yang mana beliau mencipta pelbagai teknik penggambaran dalam filem arahannya.

Kami di Sinar Bestari mendoakan agar seniman berkaliber ini terus berada dalam keadaan sihat, cerdas dan cergas dalam kehidupan seharian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok