Pelajar ceria selepas mengikuti aktiviti menangkap ikan di sawah.
Pelajar ceria selepas mengikuti aktiviti menangkap ikan di sawah.

70 pelajar antarabangsa MSU rasai Kampung Vibe

28 Oct 2024 11:10am

Sebagai sebahagian daripada pendekatan untuk mengadaptasikan para pelajar antarabangsa dengan persekitaran dan merasai pengalaman kehidupan desa, Management and Science University (MSU) menganjurkan program MSU Kampung Vibe di Sabak Bernam, Selangor.

Ia merupakan destinasi ideal kepada pengunjung yang mahu merasai suasana persekitaran santai dan lebih dekat dengan alam serta kehidupan tempatan.

Seramai 70 pelajar antarabangsa MSU dari 24 buah negara telah mengambil bahagian dalam program itu termasuklah Brunei, Kemboja, China, Kepulauan Comoros, Fiji, Perancis, India, Indonesia, Jepun dan Kazakhstan.

Pelajar dari Kenya, Maldives, Mauritius, Mozambique, Bangladesh, Nigeria, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Sudan, Türkiye, Yaman dan Zimbabwe turut menyertai program itu.

MSU dalam satu kenyataan memaklumkan, universiti itu kini merupakan ‘kediaman’ kepada para pelajar antarabangsa dari 65 negara di seluruh dunia.

Peserta tekun mendalami proses pembuatan wau.
Peserta tekun mendalami proses pembuatan wau.

“Program ini bertujuan memupuk cakna budaya, pembinaan komuniti, menggalakkan kepelbagaian dan pembelajaran interaktif dalam persekitaran santai serta menonjolkan kehidupan mampan.

“Para peserta telah didedahkan dengan aktiviti tradisional masyarakat Melayu seperti persembahan kuda kepang, membuat roti canai, mencanting batik, mempelajari teknik pembuatan wau serta menangkap ikan di sawah,” menurut MSU.

Untuk rekod, pendidikan berkualiti menjadi agenda utama MSU dalam melahirkan graduan yang holistik, berkualiti dan kompeten.

Terkenal dengan visi mencerna kecemerlangan dan kejayaan dalam kalangan graduan, MSU melaksanakan pelbagai strategi khusus bagi mencapai matlamat tersebut.

Antara strategi itu ialah inisiatif pengantarabangsaan di mana MSU telah menyediakan platfom khusus kepada pelajar untuk mendapat pendedahan global melalui Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).

“Penyertaan pelajar dalam program ini bukan sahaja memperkasa kemahiran insaniah tetapi turut memperkukuhkan lagi penghayatan mereka terhadap keunikan sosial dan budaya.

“Mereka juga menerima manfaat mengenai perkongsian maklumat dan kemahiran, sistem pembelajaran serta pengajaran, jaringan kerjasama, rakan-rakan baharu, khidmat komuniti dan sebagai duta kecil negara,” kata MSU.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp