Amiz Hamzah dilantik semula Presiden PKIBM
Persatuan Kebangsaan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM) telah ditubuhkan sejak tahun 2000 sebagai persatuan tunggal berdaftar mewakili kepentingan dan menjunjung aspirasi IPTS milik bumiputera dari seluruh negara yang turut diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Setiap penggal juga akan dijalankan pemilihan presiden bagi menerajui dan memimpin PKIBM dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan usahawan-usahawan pendidikan bumiputera seluruh negara.
Untuk itu, penggal baharu 2023/2024, Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa telah dipilih semula sebagai Presiden persatuan berkenaan.
Pelantikan tanpa bertanding itu dibuat sebulat suara pada sesi pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM 2019 kali ke-20 yang berlangsung di Menara Arina UNITI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada sesi pemilihan terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Pengurusan Penerbangan, Kapten Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) (B) Ab Manan Mansor telah dilantik sebagai Timbalan Presiden menggantikan Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor yang tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Universiti Geomatika, Profesor Dr Mohaizi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Teknologi Timur, Datuk Norayini Ali telah dipilih sebagai Naib Presiden I dan II.
Diikuti dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Ranaco Education and Training Institute, Ahmad Firdhaus Ramlan serta Ketua Pegawai Eksekutif, Murni International College, Dr Ramlee Mohd Junus masing-masing turut dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Penolong Setiausaha Agung.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Management Science University (MSU) College, Mohd Adnan Roslie dipilih sebagai Bendahari Agung dan penolongnya disandang oleh Datuk Dr Abdul Murad Ahmad.
Dalam pada itu, seramai lima Ketua Pegawai Eksekutif lain turut dipilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif bagi penggal 2023/2024 dalam majlis yang dihadiri lebih 70 perwakilan mewakili 35 daripada 44 IPTS milikan penuh bumiputera yang menganggotai PKIBM.
Mereka terdiri daripada Profesor Dr Wan Azizi Wan Sulaiman (Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS); Faizatul Akmar Hisan (Kolej Universiti Agrosains Malaysia); Tina Tajuddin (Kolej Antarabangsa TAJ); Norhisyam Abdul Rahman (Kolej Universiti WIDAD) dan Zahar Ali (Kolej Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan).
Sementara itu, majlis perasmian mesyuarat tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Mustafa telah menzahirkan penghargaan kerajaan khususnya KPT ke atas kepimpinan PKIBM dalam membantu Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mendepani tempoh yang sukar berikutan pandemik Covid-19.
“Kerajaan sentiasa melihat sektor pendidikan tinggi sebagai industri strategik dan semasa awal pandemik Covid-19, PKIBM telah memainkan peranan yang besar dalam menggerakkan usaha memastikan kelestarian dan kelangsungan operasi IPTS di seluruh negara.
“Saya berharap hubungan baik yang sedia terjalin antara JPT dan PKIBM akan terus dipereratkan,” katanya.