Dua beradik ini berjaya buktikan yang mereka juga mampu berjaya dengan cemerlang seperti orang lain.
Dua beradik ini berjaya buktikan yang mereka juga mampu berjaya dengan cemerlang seperti orang lain.

Anak penoreh getah bergelar profesor, netizen luah rasa kagum!

ROSHLAWATY MD RAIEH
05 Jul 2023 02:51pm
A
A
A

Biarpun anak penoreh getah, namun ia bukanlah halangan besar untuk dua beradik ini menempa kejayaan dalam kehidupan.

Soh Kim Lam (kakak) dan Soh Kim Geok (adik) yang kini berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kehidupan kecil mereka dipenuhi dengan kesusahan lantaran kedua-dua ibu bapa hanyalah bekerja sebagai penoreh getah.

“Kami berasal dari sebuah kampung di Terengganu. Hidup kami miskin kerana ayah dan emak penoreh getah.

“Mereka bekerja siang dan malam demi membesarkan kami lima beradik.

“Memang sukar waktu itu namun semua adik beradik masih mengingati pesanan ayah yang sentiasa menasihatkan supaya belajar bersungguh-sungguh kerana hanya pelajaran sahaja yang boleh mengubah nasib,” ujar mereka seperti dipetik menerusi portal UPM.

Kim Lam yang kini bergelar Profesor Dr Soh Kim Lam dan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM memberitahu, walaupun miskin, namun dia dan adiknya bersyukur kerana telah berjaya melakar kejayaan dalam pelajaran.

“Adik saya turut bergelar Profesor Dr Soh Kim Geok di kampus ini. Dia kini bertugas sebagai Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM.

“Saya sangat gembira kerana masing-masing sudah berjaya sekali gus dapat berkongsi kemahiran dan kepakaran yang ada kepada orang ramai,” ujar Kim Lam.

Sementara itu, kejayaan kedua-dua beradik tersebut telah membanggakan seluruh penduduk kampung mereka kerana bukan mudah untuk anak penoreh getah melakar kejayaan hebat sebegini.

Artikel Berkaitan:

“Impian kami terlalu banyak dan salah satunya adalah mahu menyumbang pelbagai hasil penyelidikan terbaik kepada masyarakat khususnya penduduk di Terengganu.

"Doakan kesemuanya berjalan dengan lancar," ujar kedua-duanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok