UM kini diterajui Noor Azuan selaku Naib Canselor baharu.
UM kini diterajui Noor Azuan selaku Naib Canselor baharu.

Kagum gagasan Naib Canselor UM

ROSHLAWATY MD RAIEH
06 Feb 2024 06:09pm
A
A
A

Mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob melahirkan rasa kagum dengan gagasan yang diketengahkan Naib Canselor UM yang baharu, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Kata Hashim, gagasan Naib Canselor baharu itu antara lain menyatakan daya tahan dan tamadun sesebuah negara pada masa depan amat bergantung kepada pegangan prinsip dan ideologi pemimpinnya di samping iklim, energi dan sumbernya, geopolitik, ekonomi, cabaran keselamatan dan demografi.

“Malah, beliau (Noor Azuan) juga sangat sedar betapa pentingnya sesebuah universiti menjalankan penyelidikan berkualiti yang berupaya menghasilkan dapatan bagi menyelesaikan masalah setempat dan sejagat.

“Maka peningkatan produktiviti akan dijadikan fokus utama Noor Azuan dalam usaha menggapai kecemerlangan,” kata Hashim secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Menurut Hashim, gagasan Noor Azuan itu diceritakan sendiri kepadanya ketika bersemuka dengan beliau (Noor Azuan) selepas berakhirnya Majlis Wacana Pemikir Global 2024 di UM, baru-baru ini.

Hashim
Hashim

“Noor Azuan berkata kepada saya, seseorang pemimpin sewajibnya mencarta hala tuju atau visi dan misi yang jelas dan dikongsikan bersama dengan staf dan pelajar demi untuk mencapainya.

“Apabila mereka benar-benar dapat memahami visi dan misi serta kesetian kepada universiti tempat mereka bekerja, maka akan menjadi lebih mudahlah menghasilkan kemajuan.

Artikel Berkaitan:

“Beliau (Noor Azuan) akan melaksanakan perancangan yang telah dibuat bersama pasukannya itu sebaik yang boleh dan tidak tinggal ‘cakap-cakap’ saja,” ujar Hashim lagi.

Bagi tujuan itu, Noor Azuan akan cuba tingkatkan keupayaan dan kemahiran staf sebolehnya, setelah mengkaji apa yang diperlukan di samping cuba membawa kepakaran ke dalam universiti sekiranya belum ada.

Cara bagaimana untuk memperbaiki aspek pembelajaran dan pengajaran serta kebajikan pelajar akan beliau (Noor Azuan) kaji dengan bersungguh-sungguh.

Noor Azuan
Noor Azuan

Hashim yakin, Naib Canselor UM baharu dapat melaksanakan segala perancangannya itu dan universiti akan berjaya menempa kejayaan lebih gemilang.

“Beliau mesti berani untuk melakukan perubahan yang perlu melalui transformasi strategik, pembasmian yang lapuk dan menggantikannya dengan yang progresif.

“Hasrat beliau untuk membawa UM ke takok kemajuan yang baru melalui inovasi dan kreativiti dengan kesedaran, iltizam staf dan pelajarnya tentu akan berjaya kerana beliau mempunyai kelayakan akademik tinggi dan pengalaman cukup banyak,” ujar Hashim yang menasihatkan Noor Azuan wajib sentiasa menghindar diri daripada rasuah dan salah guna kuasa.

*****

Puisi khas untuk Naib Canselor UM hasil karya Hashim

Cekakan kemas,

genggamkan kejap

hulu Pedang Jentaka Wira.

Jangan kauberlabuh

di Lautan Teduh.

Belayarlah terus

dengan maniashalus.

Limbai membuang

hingga ke seberang.

Jangan takut pada laut luas

pada ombak ganas.

Malimkan bahtera

dengan handal.

Berserah pada yang Asal.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok