KPT ada menyediakan kemudahan pembiayaan pengajian seperti BKOKU. Gambar kecil: Muhammad Adib.
KPT ada menyediakan kemudahan pembiayaan pengajian seperti BKOKU. Gambar kecil: Muhammad Adib.

Apabila OKU menjadi mahasiswa

21 Dec 2023 07:00am

Setiap daripada kita pasti mempunyai keinginan untuk berjaya dalam kehidupan dan pelajaran.

Adalah menjadi impian setiap manusia sama ada normal atau yang dilahirkan istimewa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Buktinya, saban tahun permohonan melanjutkan pengajian semakin bertambah, tidak kira sama ada instituti pengajian tinggi awam (IPTA) ataupun instituti pengajian tinggi swasta (IPTS).

Dalam keghairahan kita berbicara tentang keinginan para remaja untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi, namun masih terlupa bahawa terdapat golongan yang disebut sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang juga mahu berjaya seperti orang lain.

Namun cita-cita itu terpaksa dilupakan dek kerana kekurangan atau kerendahan diri yang ada dalam diri mereka. Persoalannya, di manakah OKU dalam sektor akademik?

Institusi mesra OKU

Saya yakin dan percaya setiap universiti di Malaysia ini baik di IPTA mahupun IPTS, ada menyediakan fasiliti khusus untuk OKU. Ia suatu usaha yang layak dipuji dan dihargai.

Ia menunjukkan bahawa pihak universiti sangat cakna dan prihatin terhadap orang kelainan upaya sekali gus membuka mata masyarakat khususnya ibu bapa untuk mendorong si anak menyambung pelajar di universiti tanpa rasa gelisah.

OKU dan kemudahan tidak dapat dipisahkan, demikianlah apa yang perlu disediakan oleh pihak universiti kepada pelajar kelainan upaya yang terdapat di institusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pihak universiti boleh menyediakan kemudahan pengangkutan ke kelas bagi memudahkan urusan pelajar kelainan upaya setiap hari. Usaha murni itu telah dilaksanakan oleh beberapa institut pengajian tinggi awam.

Selain itu, pihak universiti juga boleh menyediakan penginapan khas pelajar OKU di mana dalam bilik tersebut dilengkapi dengan kemudahan tandas atau kedudukan bilik yang dapat memudahkan pergerakan pelajar kelainan upaya dalam kebanyakan urusan.

Di antara kemudahan lain yang boleh disediakan oleh pihak universiti ialah khidmat buddies untuk pelajar OKU bagi memudahkan urusan pelajar tersebut.

Bantuan kewangan

Setiap individu yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat tinggi pastinya tidak terlepas berbicara tentang pembiayaan.

Buat golongan OKU, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ada menyediakan kemudahan pembiayaan pengajian seperti Bantuan Kewangan Orang Kelainan Upaya (BKOKU).

Mereka tidak perlu memikirkan tentang sebarang bentuk bayaran yuran pengajian kerana ia ditanggung oleh pihak kerajaan. Malah duit poket diberikan kepada golongan ini.

Ia bertujuan memberi dorongan dan semangat buat warga OKU untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Secara total, pelbagai kemudahan dan layanan istimewa disediakan oleh kerajaan serta institusi sendiri kepada golongan OKU agar dapat melanjutkan pengajian dengan selesa.

Pihak institusi pengajian tinggi tidak pernah meminggirkan, malah sentiasa memberikan bantuan dan sokongan serta pelbagai kemudahan kepada golongan ini.

Kepada golongan OKU, jangan pernah merasakan diri anda dipinggirkan, carilah dan rebutlah peluang yang telah terhidang di hadapan mata anda. Ayuhlah warga OKU tingkatkan martabat diri di mata dunia!

Maklumat Penulis

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Qiraat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Adib Imran

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp