
ASIAC’25: Pulau Tioman jadi pusat seni dan budaya dunia
Suara deruan ombak yang bergema di pesisir pantai Pulau Tioman berpadu dengan bayu laut menyapa lembut, menjadi latar semula jadi kepada sebuah pertemuan luar biasa.
Dari 4 hingga 8 Ogos lalu, pulau peranginan terkenal di Pahang itu bertukar wajah menjadi pentas seni dan budaya antarabangsa apabila Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menganjurkan Aswara International Art and Culture Camp 2025 (ASIAC’25).
Program anjuran Fakulti Seni Halus Aswara ini bukan sekadar menggabungkan elemen seni, budaya dan kelestarian alam semula jadi, malah berperanan sebagai jambatan diplomasi budaya yang menyatukan pelajar, pensyarah, artis visual serta pengamal seni dari 21 buah negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Rektor Aswara, Profesor Dr Tan Awang Besar bersama Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman, diiringi suasana penuh warna-warni semangat kesenian.
Keistimewaan ASIAC’25 terserlah melalui kehadiran tokoh seni antarabangsa yang terkenal dengan karya dan reputasi masing-masing. Antaranya, pelukis tersohor dari Iran, Emad Salehi yang memegang rekod Guinness World Records bagi Lukisan Kanvas Terbesar Dunia; artis kontemporari Jepun, Shin Asato; seniman muda dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia, Dr Budi Asih; akademik seni dari Universiti Punjab, Pakistan, Profesor Dr Sumera Jawab; dan wakil Kementerian Pendidikan Turki, Dr Muberra.
Kehadiran mereka memperkayakan pertemuan ini dengan perkongsian ilmu dan pengalaman melalui sesi masterclass, forum wacana seni kontemporari dan rewang rasa resmi yang mempamerkan keunikan budaya masing-masing.
Menyemarakkan lagi suasana, sebanyak 21 institusi pengajian tinggi tempatan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Kesenian Malaysia (MIA) mengambil bahagian disertai 12 buah sekolah menengah yang merangkumi lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan lima Sekolah Seni Malaysia.
Bukan itu sahaja, komuniti setempat Pulau Tioman turut diberi ruang menyumbang dan bersama-sama menjayakan penganjuran, menjadikan ASIAC’25 sebagai sebuah perayaan seni yang benar-benar inklusif.

Selepas enam hari dipenuhi pelbagai aktiviti, kemuncak program berlangsung pada malam terakhir melalui ASIAC Night 2025 yang disaksikan lebih 500 tetamu termasuk pelancong asing. Persembahan bermula dengan wayang kulit pimpinan Adiguru Wayang Kulit ASWARA, Che Mohd Nasir Yusoff yang memukau penonton dengan kisah tradisi penuh nilai warisan.
Pentas kemudiannya diterangi dengan persembahan pelajar Fakulti Tari yang mempamerkan rangkaian tarian tradisional rapi susunan koreografi bertenaga dan penuh ekspresi, meninggalkan memori indah buat semua yang hadir.
Pemilihan Pulau Tioman sebagai lokasi penganjuran bukan hanya kerana keindahan alamnya yang memukau, tetapi sebagai simbol penyatuan antara seni, budaya dan kelestarian. Langkah ini juga seiring dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta menyokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
ASIAC’25 membuktikan bahawa seni dan budaya mampu melangkaui sempadan geografi, menyatukan masyarakat pelbagai bangsa dan bahasa, serta membawa nama Malaysia ke persada dunia melalui warisan dan kreativiti yang tidak ternilai.
