Bakal usahawan di Bazar Ramadan UKM
Ibarat tradisi setiap tahun, kehadiran Ramadan seakan tidak lengkap tanpa adanya bazar yang menjual pelbagai jenis makanan sebagai juadah berbuka puasa.
Terdapat banyak tempat yang menjadi lokasi bazar Ramadan tahun ini dan ia turut diambil peluang oleh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan perniagaan masing-masing di Bazar Ramadan UKM.
Mereka bukan sahaja berpeluang berniaga secara praktikal tetapi turut membantu menjana pendapatan di bulan mulia ini sekali gus mengurangkan beban kewangan.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, bazar Ramadan dapat dijadikan sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk mempelajari selok belok urus niaga di samping bertindak sebagai inkubator perniagaan.
“Tempoh berniaga sepanjang bulan Ramadan ini memberi banyak ruang kepada usahawan siswa untuk mengemudi landskap operasi perniagaan seperti pemasaran, kewangan, sumber manusia, pengurusan operasi dan perancangan strategik.
“Pada tahun ini, sebanyak 14 tapak diusahakan oleh usahawan siswa, empat tapak dikendalikan oleh usahawan alumni UKM dan selebihnya 26 tapak adalah peniaga komuniti.
“Kombinasi peniaga ini membolehkan usahawan siswa mempelajari teknik perniagaan melalui pemerhatian secara terus daripada usahawan komuniti yang lebih lama terlibat dalam dunia perniagaan,” ujarnya.
Katanya lagi, Bazar Ramadan UKM merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS UKM (UKM-CESMED) dengan kerjasama Kelab Keusahawanan Sosial UKM, Cesmed Buddies dan MyAgrosis UKM.
Dalam pada itu, mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, Adam Danial Hairun Azma berkata bazar ramadan ini membolehkan usahawan siswa memperkenalkan produk masing-masing serta menonjolkan kemahiran keusahawanan dalam diri.
Dia yang mengusahakan jenama sendiri iaitu Popis by Tiga Ketul membuka perniagaannya di tapak yang sama dengan rakan-rakan yang lain.
“Saya menjual popia pisang dan kawan saya jual sup cendawan serta minuman cha ba ang. Semuanya buat sendiri.
“Masing-masing perlu kreatif dalam memasarkan produk sendiri dan dapat bersaing secara sihat,” katanya.
Tambahnya, bekerjasama dengan kawan-kawan yang lain tidak memerlukan modal yang tinggi bahkan penyewaan tapak boleh dibuat secara bersama.