
Terokai dunia industri siber, rangkaian melalui program 'Securing the Future'
Kelab Rangkaian dan Majlis Perwakilan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (ComCil) sesi 2025/2026 telah menganjurkan program SECURING THE FUTURE: Industry Exposure at 10 Creative Solutions Sdn Bhd pada 24 Januari 2026 (Sabtu).
Program kerjasama strategik bersama 10 Creative Solutions Sdn Bhd ini merupakan satu inisiatif pendedahan industri dalam bidang rangkaian komputer dan keselamatan siber kepada 25 pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Pengarah Program, Amir Syarifuddin Hasbullah, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkasa kefahaman pelajar terhadap peranan penyedia solusi dan perkhidmatan teknologi, khususnya dalam aspek infrastruktur rangkaian, keselamatan siber serta pengurusan sistem teknologi maklumat.
Melalui lawatan industri ini, para pelajar didedahkan secara langsung kepada proses penyelesaian teknikal, pelaksanaan infrastruktur rangkaian, serta pendekatan keselamatan yang digunakan bagi menyokong operasi pelanggan dalam persekitaran sebenar industri.

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian bersama pegawai-pegawai utama 10 Creative Solutions Sdn Bhd, iaitu Mohd Razi Abdul Latif (Executive Chairman); Nur Farhana Mansor (Head of HR Unit); Muhamad Fauzi Jamhori (Head of Customer, Supplier and Alliance Team); Mohd Ridhwan Razak (Head of Capture Management Team); Faizal Shaimi (Head of Change and Project Office Team); Sazamin Jamaluddin (Head of Customer Service & Technical Team); Norazimah Othaman (Head of Customer Support Operations Team); Yuvaraj Mohanadas (Head of Training Unit) serta Amizatul Ain (Human Resources Business Partner).
Sepanjang sesi perkongsian, para pelajar memperoleh pendedahan menyeluruh berkaitan struktur organisasi, pengurusan projek teknologi, perkhidmatan pelanggan, latihan industri serta hala tuju kerjaya dalam sektor teknologi maklumat.
Executive Chairman 10 Creative Solutions Sdn Bhd, Mohd Razi Abdul Latif, turut hadir memberikan tips dan panduan berguna berkaitan persediaan sebelum dan selepas melangkah ke alam pekerjaan, termasuk kepentingan kemahiran teknikal, sikap profesional dan pembelajaran berterusan.
Selain itu, program ini turut memberi pendedahan terhadap budaya kerja profesional dan amalan industri sebenar, sekali gus membantu pelajar memahami realiti dunia pekerjaan dalam sektor teknologi maklumat.
Turut hadir adalah pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, FSKTM, UPM, Dr Normalia Samian dan Dr Nur Arzilawati Md Yunus selaku pegawai pemantau program.

Menurut Dr Normalia, penganjuran program seumpama ini memberi peluang kepada pelajar Universiti Putra Malaysia untuk memperoleh pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah serta memahami situasi sebenar persekitaran kerja industri secara langsung.
Pengalaman ini diharap dapat membentuk kesediaan pelajar dari segi kompetensi teknikal, etika profesional serta kemahiran insaniah yang diperlukan dalam menghadapi cabaran industri digital masa kini.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak penganjur dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik dan industri, di samping membuka ruang penerokaan peluang kerjaya kepada pelajar dalam bidang rangkaian komputer dan keselamatan siber.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong keperluan transformasi digital negara.
Ringkasan AI
- Kelab Rangkaian dan Majlis Perwakilan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (ComCil) sesi 2025/2026 menganjurkan program SECURING THE FUTURE bersama 10 Creative Solutions Sdn Bhd untuk pelajar Universiti Putra Malaysia
- Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar tentang infrastruktur rangkaian, keselamatan siber dan pengurusan sistem maklumat
- Pelajar didedahkan kepada proses sebenar dalam penyelesaian teknikal, pelaksanaan infrastruktur dan keselamatan dalam industri
- Sesi perkongsian dengan eksekutif 10 Creative Solutions Sdn Bhd memperluas pengetahuan pelajar dalam pengurusan projek teknologi, perkhidmatan pelanggan, dan hala tuju kerjaya dalam teknologi maklumat
- Program ini juga menggalakkan pendedahan terhadap budaya kerja profesional, menyediakan pelajar dengan kemahiran dan etika yang diperlukan untuk menghadapi industri digital