Gambar hiasan
Gambar hiasan

Warga emas luar bandar terpinggir: Krisis pengangkutan awam yang kian meruncing

30 Jan 2026 11:41am

Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal mencapai status negara menua apabila sekurangkurangnya 15 peratus daripada populasinya berumur 60 tahun ke atas.

Namun, di sebalik kerancakan pembangunan rel moden dan bas elektrik di pusat bandar, masih wujud satu kelompok masyarakat yang seolah-olah terpinggir daripada peta kemajuan negara, iaitu warga emas di luar bandar.

Bagi golongan ini, pengangkutan bukan sekadar kemudahan, tetapi talian hayat yang menentukan sama ada mereka mampu hidup bermaruah atau terus terasing di rumah sendiri.

Jurang infrastruktur antara bandar dan luar bandar di Malaysia semakin membimbangkan.

Di kawasan bandar, rangkaian pengangkutan awam dilihat semakin meluas dan efisien. Sebaliknya, di kawasan desa, perkhidmatan pengangkutan rasmi sering kali terhad atau langsung tidak wujud.

Sebagai contoh, kajian di Kampung Jeram, Kelantan mendapati penduduk terpaksa berjalan kaki antara 30 hingga 34 minit hanya untuk ke klinik atau kedai runcit terdekat.

Bagi seorang warga emas yang mengalami kemerosotan fizikal, jarak dua hingga tiga kilometer di bawah cuaca panas terik dan laluan tidak berturap merupakan cabaran yang besar.

Isu “batuan terakhir” atau last mile ini sering kali terlepas pandang dalam perancangan pengangkutan, menyebabkan warga emas terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan ahli keluarga atau jiran untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Ketiadaan perkhidmatan bas rasmi seperti Cityliner di banyak kawasan pedalaman telah melahirkan sistem pengangkutan tidak formal.

Artikel Berkaitan:

Di Hulu Terengganu, misalnya, penduduk bergantung kepada van persendirian berbayar untuk ke bandar. Walaupun perkhidmatan ini menawarkan jadual yang fleksibel, ia sebenarnya mendedahkan warga emas kepada pelbagai risiko.

Tanpa terminal rasmi, tanpa pemantauan tambang dan, paling utama, tanpa jaminan ciri keselamatan, warga emas berada dalam keadaan yang sangat rentan.

Apabila kenderaan ini rosak atau pengusaha menghentikan operasi akibat kos yang tinggi, mobiliti warga emas akan terjejas serta-merta.

Situasi ini mencerminkan kelemahan serius sistem pengangkutan awam dalam menyediakan jaringan yang adil untuk semua lapisan masyarakat.

Secara kritisnya, permasalahan ini berakar umbi daripada kelemahan pengurusan institusi.

Kajian kes di Kuala Krai menunjukkan koordinasi antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan sering terganggu akibat birokrasi serta komunikasi yang tidak berkesan.

Kebergantungan sumber kewangan di peringkat persekutuan pula mengehadkan keupayaan perancangan dan pelaksanaan di peringkat tempatan. Pendekatan perancangan secara “top-down” juga dilihat semakin tidak relevan.

Dasar yang dirangka di ibu kota sering kali tidak selari dengan realiti geografi kampung yang berselerak dan jarang penduduknya.

Akibatnya, inisiatif seperti subsidi bas atau pembaikan jalan kerap tertangguh atau gagal memenuhi keperluan sebenar komuniti setempat.

Tanpa agensi peneraju yang jelas, warga emas luar bandar terus menjadi mangsa kepada sistem yang tidak berfungsi secara menyeluruh. Faktor kemampuan kewangan turut menjadi cabaran besar.

Majoriti warga emas luar bandar tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri atau menanggung kos perkhidmatan e-hailing yang tinggi.

Kajian di Kampung Kota Aur, Pulau Pinang mendapati lebih 50 peratus warga emas terlepas sekurang-kurangnya satu temu janji klinik akibat masalah pengangkutan.

Apabila rawatan kesihatan ditangguhkan, risiko kesihatan mereka meningkat. Lebih membimbangkan, kebergantungan melampau kepada anak-anak yang telah berhijrah ke bandar menghakis rasa autonomi dan maruah diri warga emas.

Keadaan ini mendorong sebahagian daripada mereka memilih untuk mengasingkan diri, sekali gus meningkatkan risiko kesunyian dan kemurungan. Hakikatnya, pengangkutan awam bukan sekadar infrastruktur fizikal, tetapi satu hak sosial yang asas.

Berdasarkan pemerhatian di kawasan luar bandar, ketiadaan bas harian dan lokasi perhentian yang terlalu jauh bukan sahaja menyusahkan golongan muda, malah melumpuhkan kehidupan seharian warga emas.

Penyelesaian isu ini memerlukan keberanian politik untuk menilai semula dasar pembangunan luar bandar. Model pengangkutan berskala kecil seperti van komuniti yang dikawal selia secara profesional perlu diperkasakan.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan wajar melibatkan penduduk desa melalui pendekatan “bottom-up” agar laluan yang dirancang benarbenar memenuhi keperluan golongan yang paling memerlukan.

Penambahbaikan sistem pengangkutan luar bandar tidak seharusnya dinilai melalui lensa keuntungan material semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan pelaburan jangka panjang terhadap nilai kemanusiaan.

Pendekatan yang lebih inklusif dan prihatin amat diperlukan bagi memastikan warga emas luar bandar tidak terus tercicir dalam arus pembangunan negara.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Nadiatul Balqis Mat Nasir.

2. Penyelaras kursus Sosiologi Desa, FSSK, UKM, Dr. Velan Kunjuraman.

Ringkasan AI

  • Malaysia bakal mencapai status negara menua menjelang tahun 2030
  • Jurang infrastruktur pengangkutan antara bandar dan luar bandar semakin membimbangkan
  • Warga emas di luar bandar menghadapi masalah besar dalam mengakses pengangkutan
  • Ketiadaan perkhidmatan pengangkutan rasmi telah melahirkan sistem pengangkutan tidak formal
  • Penambahbaikan sistem pengangkutan memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan prihatin
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp