
Bangga! Universiti di Malaysia cemerlang dalam QS World Rankings 2026
Malaysia sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam pendidikan tinggi apabila berjaya menempatkan lima universiti dalam kelompok 10 terbaik Asia Tenggara menerusi senarai QS World University Rankings (QS WUR) 2026 yang diumumkan baru-baru ini.
Senarai berprestij itu menampilkan National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU) di kedudukan teratas rantau ini, mengekalkan status Singapura sebagai hab akademik global.
Namun, pencapaian Malaysia menjadi tumpuan apabila Universiti Malaya (UM) muncul sebagai universiti tempatan terbaik dengan kedudukan global ke-58, diikuti rapat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-126, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan 134, serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat ke-153 dunia.
Kejayaan ini sekali gus menegaskan bahawa pelaburan Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi semakin menampakkan hasil, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pesaing utama dalam rantau ASEAN.
Selain Malaysia dan Singapura, Indonesia turut mencatatkan pencapaian membanggakan dengan Universitas Indonesia (UI) di tangga ke-189 dunia serta Universitas Gadjah Mada (UGM) di kedudukan 224. Sementara itu, Chulalongkorn University dari Thailand kekal sebagai antara universiti paling berprestij dengan kedudukan global pada tangga ke-221.
Pemerhati pendidikan menyifatkan perkembangan ini sebagai isyarat jelas bahawa Asia Tenggara semakin diiktiraf sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia, dengan Malaysia kini berada di barisan hadapan mendokong transformasi tersebut.