Azlinda
Azlinda

Jumlah pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan 21.3 peratus - KPT

28 Aug 2025 09:54am

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan bahawa pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan (RU) negara telah mencecah 27 peratus sehingga menjejaskan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman, berkata, jumlah keseluruhan pelajar di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah 180,024 orang, merangkumi 141,636 pelajar tempatan dan 38,388 pelajar antarabangsa atau 21.3 peratus.

Daripada jumlah itu, 15.8 peratus adalah pelajar pascasiswazah manakala 5.5 peratus lagi pelajar prasiswazah.

"Sesuai dengan status RU, universiti memberi tumpuan kepada pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah, sekali gus menarik 28,383 orang pelajar antarabangsa yang mewakili 46.7 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar pascasiswazah.

"Kehadiran mereka membawa perspektif baharu berdasarkan latar budaya dan akademik yang berbeza, memperkaya perbincangan serta mendorong pendekatan lebih kreatif dalam penyelidikan dan penyelesaian masalah," katanya dalam satu kenyataan. 

Azlinda berkata, kemasukan pelajar antarabangsa turut meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan global, justeru KPT tidak mengehadkan peratusan pengambilan di peringkat pascasiswazah.

"KPT menegaskan semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh tanpa subsidi kerajaan dan kemasukan ke mana-mana program hanya melalui proses saringan ketat mengikut syarat am dan khusus universiti," katanya.

Beliau berkata, hasil kutipan yuran pelajar antarabangsa digunakan Universiti Awam (UA) bagi menambah baik fasiliti untuk dimanfaatkan semua pelajar termasuk pelajar tempatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memberi nilai tambah kepada ekosistem kampus, malah mewujudkan persekitaran pembelajaran dinamik yang memperluas horizon pemikiran pelajar tempatan tanpa perlu ke luar negara.

Justeru, Azlinda berkata, dasar pengantarabangsaan membuka peluang kepada pelajar tempatan untuk berinteraksi, mempelajari silang budaya dan memperkukuh daya saing di peringkat global.

"KPT sentiasa cakna dan komited menyediakan tempat kepada pelajar tempatan tanpa sebarang diskriminasi serta memastikan mereka terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara.

"Dalam hal ini, KPT sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti tempatan bagi memastikan pelajar tempatan terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara," katanya. - Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp