Universiti telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam di seluruh kampus sejak Jumaat, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga UMK terjaga. Foto: Facebook Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)
Universiti telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam di seluruh kampus sejak Jumaat, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga UMK terjaga. Foto: Facebook Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)

Banjir: Pelajar UMK Kampus Kota ikuti pembelajaran secara dalam talian

24 Nov 2025 12:05pm

Seramai 535 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bermula Ahad, susulan banjir yang melanda negeri itu.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Arham Abdullah berkata, keputusan itu diambil selepas kawasan kampus dan kolej kediaman terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak Khamis, sekali gus menyukarkan pergerakan pelajar.

Beliau menekankan bahawa langkah pembelajaran secara dalam talian, membolehkan sesi pengajaran diteruskan sementara kuliah fizikal hanya akan dijalankan apabila keadaan kembali pulih.

"Setakat ini, seramai 527 pelajar masih menetap di kolej kediaman Kampus Kota dan telah ditempatkan di tingkat atas bagi mengelak risiko banjir. Manakala lapan pelajar yang tinggal di rumah sewa sekitar Pengkalan Chepa dipindahkan sementara ke Fakulti Veterinar, Padang Tembak.

"Semua pelajar yang terjejas akan mengikuti pengajian secara dalam talian dan memo rasmi telah dikeluarkan kepada fakulti terlibat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di UMK Kampus Kota.

Foto: Facebook Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)
Foto: Facebook Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)

Arham berkata, universiti telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam di seluruh kampus sejak Jumaat, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga UMK terjaga.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bilik gerakan itu berperanan menyalurkan maklumat terkini dan bantuan kepada pelajar serta staf yang berada di dalam kampus dan kawasan sekitar.

"UMK juga melaksanakan pemantauan di kolej kediaman pelajar secara berkala bagi memastikan semua langkah keselamatan diambil sepanjang tempoh banjir.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan pelajar, termasuk keperluan asas, makanan, sokongan logistik dan lain-lain, terus diselia oleh pihak universiti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Kampus Jeli dan Kampus Bachok, tidak terjejas akibat banjir.

Terdahulu, UMK Kampus Kota dan bangunan di persekitarannya terjejas dan ditenggelami banjir ekoran hujan lebat berterusan tahap waspada. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Seramai 535 pelajar UMK Kampus Kota mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam talian akibat banjir
  • Kawasan kampus dan kolej kediaman terjejas, memaksa pembelajaran dalam talian diterapkan
  • Pelajar yang tinggal di kolej kediaman dan rumah sewa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat
  • Universiti mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam untuk keselamatan warga UMK
  • UMK Kampus Jeli dan Kampus Bachok tidak terjejas oleh banjir
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp