
13 pelajar Tingkatan Lima SSeMKL pamer karya kreatif dalam 'Bleu De Nimes' di MATIC
Seramai 13 pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) menampilkan bakat dan kreativiti luar biasa menerusi Pameran Pentaksiran Kesenian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertajuk Bleu De Nimes yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).
Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Siti Dewi Marsitah Ismail berkata, selain menjadi medium penilaian penting dalam pentaksiran akhir, ia juga dapat menonjolkan kemampuan pelajar mempersembahkan karya secara profesional.
Menurutnya, mereka dapat belajar sesuatu yang baharu seperti merasai sendiri pengalaman mengurus pameran sebenar bermula dengan peringkat perancangan, proses pengurusan, pemasangan karya hingga kepada pelancaran majlis.
"Pelajar bukan sahaja diuji dari aspek kemahiran seni semata-mata namun turut diasah dari segi kepimpinan, komunikasi serta kebolehan bekerja secara berpasukan.
"Saya berasa bangga dengan pencapaian pelajar SSeMKL, hasil yang diketengahkan mereka semuanya menarik. Karya mereka penuh ekspresi dan emosi selain mencipta seni reka yang unik seperti rak kasut yang rekaannya diinspirasikan daripada bentuk seekor tenggiling.
"Jika dilihat daripada hasil seni mereka, ia menggambarkan pemikiran mendalam serta kreativiti pelajar," ujarnya.

Pameran Pentaksiran Kesenian SPM dirasmikan oleh Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.
Tambah Siti Dewi Marsitah, pameran Bleu De Nimes ini juga akan dibuka kepada orang ramai bermula dari Isnin hingga 2 Oktober 2025, setiap hari di ruang pameran utama MATIC.
"Oleh itu, orang ramai boleh datang ke MATIC seawal jam 9 pagi hingga 5.30 petang. Semua pihak dijemput hadir untuk menyaksikan hasil karya yang bukan sahaja mencerminkan kreativiti generasi muda, tetapi juga usaha gigih mereka dalam memenuhi komponen penting pentaksiran seni visual SPM.
"Pameran ini dijangka akan mendapat sambutan, dalam masa yang sama saya percaya pelajar juga akan teruja apabila hasil karya mereka mendapat perhatian masyarakat.
"Sudah pasti perkara tersebut akan terus memberi semangat kepada anak-anak muda ini untuk terus berkarya," tambahnya.
Beliau turut memberitahu, pameran tersebut dibimbing sepenuhnya oleh jurulatih berpengalaman SSeMKL iaitu Mohamad Rafiuddin Mohd Noor, Farah Nur Wahidah Mohd Othman, Teh Nadirah Hamdan dan Nurul Fathini Mat Akhir.
"Jurulatih memainkan peranan penting dalam mengasah kreativiti dan memantapkan perancangan pelajar sepanjang proses penyediaan pameran," jelasnya
Ringkasan AI
- Seramai 13 pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur telah menampilkan bakat mereka dalam Pameran Pentaksiran Kesenian SPM bertajuk 'Bleu De Nimes' di MATIC
- Pengetua SSeMKL, Siti Dewi Marsitah Ismail menyatakan pameran itu bukan sahaja medium penilaian tetapi juga platform untuk mempersembahkan karya secara profesional
- Pelajar belajar mengurus pameran dari perancangan hingga pelancaran, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan
- Pameran 'Bleu De Nimes' akan dibuka kepada orang ramai hingga 2 Oktober 2025 di MATIC
- Jurulatih berpengalaman SSeMKL membimbing pelajar dalam mempersiapkan pameran ini, mengasah kreativiti dan perancangan mereka