Siti Nabila Mohammad Zaidi menerima sumbangan zakat daripada Sazili Shahibi di Kampung Golok, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan semalam. – UTUSAN
Siti Nabila Mohammad Zaidi menerima sumbangan zakat daripada Sazili Shahibi di Kampung Golok, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan semalam. – UTUSAN

Bapa sanggup gadai tanah pusaka, pastikan anak sambung ijazah

26 Sep 2024 10:12am

Memberi pendidikan yang sempurna dan mencukupi buat anak-anak merupakan salah satu pelaburan jangka masa panjang yang dapat membantu dalam mengubah nasib sesebuah keluarga atau masa depan negara.

Pastinya ibu bapa adalah golongan yang sentiasa mahukan terbaik buat masa depan anak-anak sehingga ada sanggup bergadai dan berhempas pulas demi memastikan mereka mendapatkan pendidikan selayaknya.

Ini dapat dilihat apabila seorang bapa dari Kampung Golok Semerak Kelantan sanggup menggadaikan tanah pusakanya bagi memastikan anaknya menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Ahad ini.

Menurutnya anaknya, Siti Nabila Muhammad Zaidi, bapanya Muhammad Zaidi Che Ali mengambil keputusan berkenaan selepas hanya mempunyai wang simpanan RM200 sahaja.

Katanya, wang itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan perjalanan ke universiti berkenaa selain membayar yuran pendaftaran.

“Ayah mengambil keputusan menggadai tanah pusaka sebanyak RM3,000 untuk keperluan saya dan selebihnya digunakan untuk tujuan modal pusingan penanaman padi.

“Walaubagaimanapun, semuanya berubaha apabila saya terpilih untuk menerima sumbangan segera daripada pihak UiTM,” katanya.

Siti Nabila merupakan anak kedua daripada lima beradik telah menerima kunjungan daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM kampus Puncak Alam, Profesor Dr Sazili Shahibi.

Artikel Berkaitan:

Dia mengakui tahap keprihatinan pengurusan UiTM sehingga akhirnya menyuntik kembali impiannya untuk bergelar seorang pendidik.

Katanya lagi, UiTM turut menawarkan pengecualian yuran bermula semester satu hingga tamat pengajian.

Sementara itu, Sazili berkata, seramai 42 pelajar yang terdiri daripada anak ansaf, fakir dan miskin serta orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan dari UiTM.

Katanya, kesemua mereka ini dikesan menerusi data e-Kasih dan pelbagai saluran maklumat yang digerakkan oleh 33 pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).

Ujarnya, ia disusuli dengan Program Ziarah Kasih (PZK) yang dilancarkan hari ini dengan inisiatif menyantuni bakal mahasiswa yang akan mendaftar di UiTM bagi sesi 2024 bermula Ahad ini.

“PZK dimulakan dengan program turun padang menemui enam bakal mahasiswa di Kelantan untuk menerima bantuan wang sumbangan serta keperluan pendaftaran.

“Kita juga gerakkan Timbalan Rektor (HEP) dari kampus cawangan UiTM serta Dekan dan Timbalan Dekan (HEP) Kolej Pengajian atau Fakulti bagi menjayakan PZK. Tujuannya untuk memastikan tiada calon yang tersisih,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp