Kredit foto: Freepik
Kredit foto: Freepik

Beaconhouse sumbang 260 Chromebooks, pastikan guru dan murid mampu beradaptasi dengan pendidikan moden

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
05 May 2023 04:58pm

Pendidikan merupakan antara bidang perkhidmatan yang perlu bergerak pantas serta seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi terkini.

Disebabkan itu, semua pihak khususnya warga pendidik, pelajar, ibu bapa dan masyarakat hendaklah sentiasa proaktif dan berani untuk menyahut cabaran selain bersifat terbuka dalam mempelajari ilmu dalam teknologi baru.

Melihat kepada keadaan itu juga, Beaconhouse Malaysia mengambil pendekatan dengan menyumbangkan sejumlah 260 unit Chromebooks kepada semua guru sekolah rendah dan menengah termasuklah guru prasekolah.

Usaha ini bagi membantu meningkatkan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas yang melibatkan guru-guru serta pelajar sekolah di bawah Beaconhouse agar dapat bergerak seiring dengan perkembangan dunia moden.

Pengarah Serantau Beaconhouse Asia Tenggara, Basit Humayun berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini negara juga telah menyaksikan pelbagai kemajuan teknologi yang hebat selain peningkatan jumlah orang yang mula beralih kepada dunia digital termasuklah bidang pendidikan.

“Justeru, kami merasakan bukan sahaja penting untuk guru-guru kami kekal seiring dengan trend terkini dalam bidang pendidikan tetapi turut dilatih bagi memenuhi tuntutan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Malah kami juga akan memastikan guru-guru kami dilengkapi dengan peralatan terbaik untuk berinteraksi dengan para pelajar kami.

“Maka, kami percaya dengan penyediaan Chromebooks kepada mereka ini adalah sebagai satu langkah tepat ke arah meningkatkan lagi tahap pendidikan kami yang sememangnya tinggi selain dapat mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia moden,” tuturnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Basit Humayun, penggunaan teknologi bukan sahaja membolehkan lebih banyak bahan diakses dengan mudah tetapi membolehkan para guru menggunakan contoh kehidupan sebenar dan kekal seiring dengan bahan pembelajaran terkini yang sedia ada.

Jelasnya lagi, ia akan membantu memberi peluang lebih tinggi kepada pelajar untuk menjadi lebih profesional serta terbaik dalam bidang yang mereka pilih.

“Teknologi pendidikan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan penglibatan para pelajar di dalam kelas.

“Walaupun ramai yang mengatakan teknologi yang ada hari dan zaman ini cenderung untuk disalahgunakan tetapi kami merasakan ia adalah penting untuk pelajar mempunyai perspektif baharu, didedahkan kepada isu global dan dilatih untuk menjadi pelajar yang berkemahiran, berilmu serta mempunyai nilai baik untuk menjadi warga digital yang bertanggungjawab dalam komuniti global.

“Dan perkara yang paling penting adalah kami mahukan para pelajar lebih gembira dan seronok sambil belajar yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka kekal bermotivasi,” tambahnya.

Basit Humayun turut memberitahu, dengan adanya pendekatan baharu dalam bidang pendidikan yang digunakan oleh Beaconhouse ini, ia dapat membantu meningkatkan potensi untuk menjadi lebih inklusif bagi para pelajar dengan gaya pembelajaran berbeza.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp