Antara peserta yang terlibat dalam SERI baru-baru ini.
Antara peserta yang terlibat dalam SERI baru-baru ini.

Bengkel SERI platform memartabatkan seni tari Melayu

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jun 2023 05:06pm
A
A
A

Buat julung kalinya, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Bengkel Seni Tari Melayu (SERI) 2023 iaitu platform kepada para pesertanya memartabatkan seni tari Melayu di negara ini.

SERI yang bertemakan Semarak Tari Sepanjang Zaman telah menghimpunkan 150 penggemar dan penggiat seni tari tanpa mengira bangsa untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan memelihara warisan seni tradisi.

Menurut Fasilitator Kursus Seni Tari Melayu QKB2101 Kumpulan 2, Firdaus Ahmad Sukaimi, SERI bertujuan melahirkan pelapis seni tari Melayu bagi mengekalkan dan memelihara warisan tersebut kepada generasi akan datang.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang dua hari bengkel berlangsung.

“Sebanyak empat slot telah dijalankan sepanjang bengkel diadakan iaitu bengkel asas tari zapin, tari joget, tari inang dan pendedahan koreografi Melayu mengikut kumpulan.

“Kita juga mengadakan perkongsian ilmu tari Melayu yang diketuai koreografer dan pemilik artistik Nyala Dance Theatre iaitu Khairulazhar Mohtar,” ujarnya.

Bengkel SERI yang diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM itu dikendalikan Kursus Kokurikulum Berkredit Seni Tari Melayu QKB2101 Kumpulan 2 UPM.

Mereka turut dibantu oleh Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS), UPM dan PKKSSAAS, UPM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Program, Ellysa Farhana Ozaidi berpuas hati dengan penganjuran bengkel SERI berkenaan.

Dia yang merupakan mahasiswa Tahun Satu, Bacelor Sains Perhutanan berkata, SERI telah berjaya mencapai objektifnya iaitu melestarikan budaya seni tari warisan Melayu dalam kalangan para peserta.

"Sangat bangga kerana bengkel ini berjalan seperti yang kita harapkan.

"Insya-ALLAH, jika diberikan peluang, kami akan menganjurkannya lagi dengan pelbagai aktiviti yang menarik," jelas Ellysa Farhana.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok