Para pelajar perlu meneliti jurusan yang akan diambil berdasarkan prospek kerja masa depan dan strategi-strategi yang boleh membantu lepasan SPM membuat keputusan dengan bijak. Gambar kecil: Dr Md Fauzi
Para pelajar perlu meneliti jurusan yang akan diambil berdasarkan prospek kerja masa depan dan strategi-strategi yang boleh membantu lepasan SPM membuat keputusan dengan bijak. Gambar kecil: Dr Md Fauzi

Bijak pilih jurusan menepati prospek kerjaya masa depan

29 May 2024 01:04pm

Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke pelbagai program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah dibuka melalui UPUOnline.

Tarikh permohonan Fasa 1 adalah pada 29 Februari hingga 29 Mac lalu manakala Fasa 2 dibuka 29 April hingga 9 Jun 2024.

Peluang ini terbuka kepada semua calon yang berminat untuk menyertai program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam, 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat Institusi Latihan Kemahiran Awam.

Seramai 395,870 pelajar telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Bagi lepasan SPM, memilih jurusan adalah satu langkah penting dalam membina kerjaya masa depan.

Keputusan ini tidak hanya mempengaruhi perkembangan kerjaya seseorang, tetapi juga menentukan kualiti kehidupan mereka pada masa akan datang.

Pada era yang penuh dengan cabaran dan peluang, adalah penting bagi lepasan SPM memilih jurusan dengan prospek kerjaya masa depan yang cerah.

Pelajar juga perlu merancang masa depan mereka dan menetapkan matlamat kerjaya jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Mereka perlu mengenal pasti bidang-bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan dan kestabilan kerjaya masing-masing.

Dengan mempunyai matlamat kerjaya yang jelas, pelajar mampu membuat pilihan jurusan yang sesuai dengan kerjaya mereka.

Oleh itu, pelajar perlu meneliti jurusan yang akan diambil dan memerlukan pertimbangan sewajarnya berdasarkan prospek kerja masa depan serta strategi-strategi yang boleh membantu lepasan SPM membuat keputusan bijak.

No Image Caption

Pasaran pekerjaan

Langkah pertama yang perlu diambil oleh lepasan SPM adalah memahami landskap pasaran pekerjaan.

Mereka perlu mengkaji tren pekerjaan semasa dan masa depan serta mengenal pasti bidang-bidang yang mempunyai permintaan pekerjaan yang tinggi.

Misalnya, bidang teknologi maklumat, data sains, kecerdasan buatan (AI), pembangunan perisian sains komputer, kejuruteraan dan perubatan biasanya mempunyai prospek kerjaya yang baik.

Sekiranya terdapat permintaan yang tinggi dalam bidang tertentu, pelajar pasti mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi setelah tamat pengajian.

Mengambil kira faktor ini dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat pengajian dan meningkatkan kebolehan pelajar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Dengan memahami pasaran pekerjaan, lepasan SPM mampu membuat pilihan jurusan yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka.

Kemahiran dan minat

Setiap individu mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza.

Oleh itu, lepasan SPM perlu memilih jurusan yang sejajar dengan kemahiran dan minat mereka.

Apabila seseorang bekerja dalam bidang yang diminati, mereka akan lebih bersemangat dan berjaya terhadap kerjaya.

Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai minat dalam teknologi komputer akan berjaya dalam bidang sains komputer atau kejuruteraan komputer.

Oleh itu, penting bagi pelajar untuk mengenal pasti minat mereka sama ada dalam sains, seni, sastera, perniagaan, teknologi atau bidang lain yang mereka minati.

No Image Caption

Kelayakan akademik

Selain minat, kelayakan akademik adalah faktor penting yang perlu dipertimbangkan.

Pelajar perlu menyemak keputusan SPM untuk menentukan kelayakan akademik dan memilih jurusan berdasarkan kepada keputusan SPM.

Sebagai contoh, jika seseorang pelajar mempunyai keputusan yang baik dalam mata pelajaran sains, jurusan seperti perubatan, sains komputer atau kejuruteraan mungkin menjadi pilihan sesuai.

Oleh itu, kelayakan akademik pelajar adalah penting untuk dipertimbangkan dalam membuat keputusan pemilihan jurusan.

Bincang dengan pakar pendidikan dan profesional

Lepasan SPM boleh mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar pendidikan, kaunselor sekolah dan profesional dalam bidang yang diminati.

Mereka boleh memberikan pandangan mengenai kelebihan dan kelemahan setiap jurusan serta peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.

Berbincang dengan profesional yang berjaya juga dapat memberikan inspirasi dan panduan kepada lepasan SPM.

Pendekatan ini membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat dan memberi pandangan lebih jelas tentang pilihan karier mereka, memastikan kesesuaian dengan minat, bakat dan aspirasi individu.

Teknologi dan inovasi

Dalam era digital yang pesat, kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam pembentukan pasaran pekerjaan.

Lepasan SPM perlu memilih jurusan yang berkaitan kemahiran dan teknologi terkini.

Contohnya, bidang AI, pembelajaran mesin dan analitik data adalah bidang yang sedang berkembang pesat dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran pekerjaan.

Dengan memilih bidang teknologi, pelajar dapat memperoleh kemahiran yang relevan dan berkualiti untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan masa hadapan yang semakin kompleks dalam era digital.

Ini juga membuka peluang untuk kerjaya kepada pelajar dalam industri yang inovatif dan berteknologi tinggi.

Keupayaan kewangan

Selain itu, pelajar juga perlu mempertimbangkan keupayaan kewangan mereka.

Beberapa jurusan mungkin memerlukan kos pengajian yang tinggi.

Pelajar perlu membuat kajian terperinci mengenai kos pengajian, bantuan kewangan yang ada dan kemampuan kewangan masing-masing.

Jika kos pengajian jurusan tertentu terlalu tinggi dan melebihi kemampuan kewangan mereka, mereka perlu mencari alternatif atau mencari bantuan kewangan tambahan.

Memahami aspek kewangan ini penting agar pelajar dapat membuat keputusan yang bijak tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangan mereka dalam jangka panjang.

Program latihan industri

Mengambil bahagian dalam program latihan industri atau praktikal, contohnya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), dapat memberikan pengalaman praktikal yang berharga kepada lepasan SPM.

Program TVET membolehkan mereka mendapatkan pendedahan langsung kepada kemahiran teknikal dalam bidang seperti kejuruteraan, pembinaan atau kejuruteraan elektrik.

TVET memberi mereka peluang untuk belajar secara langsung di bawah bimbingan profesional industri, memahami proses kerja sebenar dan membina kecekapan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan.

Selain itu, melalui program TVET, pelajar juga dapat membina rangkaian profesional yang penting untuk memperluas peluang kerjaya mereka pada masa hadapan.

No Image Caption

Gaya pembelajaran dan persekitaran

Selain itu, pelajar juga perlu mempertimbangkan gaya pembelajaran dan persekitaran pembelajaran yang sesuai dengan mereka.

Setiap jurusan dan institusi pendidikan mempunyai pendekatan dan cara pembelajaran yang berbeza.

Sesetengah pelajar mungkin lebih selesa dengan pendekatan pembelajaran praktikal dan berdasarkan projek seperti TVET, manakala yang lain mungkin lebih suka pembelajaran berdasarkan kuliah dan penyelidikan.

Pelajar juga perlu mengambil kira lokasi dan keadaan fizikal institusi pendidikan yang mereka pertimbangkan, seperti kemudahan asrama, perpustakaan, makmal dan sokongan pelajar.

Kesimpulannya, memilih jurusan di IPT dengan prospek kerja masa depan adalah langkah penting bagi lepasan SPM.

Faktor-faktor seperti prospek kerjaya, minat, kemahiran, kelayakan akademik, dan keupayaan kewangan harus dipertimbangkan secara teliti untuk membuat keputusan yang bijak yang akan membawa kepada masa depan yang berjaya.

Melalui proses pemilihan yang teliti dan berpandukan strategi yang sesuai, lepasan SPM dapat memastikan bahawa mereka memilih jurusan yang sesuai dengan potensi dan matlamat mereka.

Dalam era teknologi dan inovasi, memilih bidang yang berkaitan dengan kemahiran dan teknologi terkini adalah kunci untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan yang semakin kompleks dan digital.

Maklumat Penulis

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Ts Dr Md Fauzi Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp