Pasukan Breast Friend Finder mengharumkan nama KPJU melalui penghasilan inovasi, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Norhayati, Nur Anis Izzati, Puteri Nurul Iffah Irdina dan Nur Dalia Izzatie.
Pasukan Breast Friend Finder mengharumkan nama KPJU melalui penghasilan inovasi, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Norhayati, Nur Anis Izzati, Puteri Nurul Iffah Irdina dan Nur Dalia Izzatie.

Breast Friend Finder KPJU peroleh anugerah

07 May 2024 05:20pm

Pasukan inovasi Universiti KPJ Healthcare (KPJU) meraih Anugerah Khas Kelestarian Perkhidmatan (Service Sustainability Special Award) dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa International Invention, Innovation and Design Competition 2024 – Hybrid Mode, baru-baru ini.

Pertandingan inovasi antarabangsa ini anjuran Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan dengan kerjasama DIGIT360, sebuah syarikat pemula Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Zon Kelantan – Terengganu (Kelter) yang mendapat sehingga 1,062 penyertaan dari empat buah negara.

Pasukan Breast Friend Finder yang diketuai oleh Profesor Dr Norhayati Mohd Zain dan dianggotai seorang tutor dari Jabatan Pengimejan Perubatan, Nur Anis Izzati Che Mut serta dua mahasiswa tahun akhir Program Ijazah Sarjanamuda Pengimejan Perubatan, Puteri Iffah Irdina Izrul Syahryll dan Nur Dalia Izzatie Ahmad Murad berjaya menghasilkan dua video inovasi unik sekali gus menarik perhatian juri pertandingan.

Inovasi utama yang diketengahkan kumpulan ini adalah video pendidikan tentang prosedur mamogram memfokuskan tentang langkah-langkah pemeriksaan mamogram secara terperinci.

“Di Malaysia, pelbagai program dan kempen dilakukan untuk menyedarkan wanita tentang pentingnya menjalani pemeriksaan mamogram sebagai pengesanan awal kanser payudara.

"Namun, kurangnya pengetahuan mengenai bagaimana prosedur dijalankan menyebabkan ramai wanita berasa cemas dan tidak selesa untuk menjalani pemeriksaan itu. Mereka mengelak daripada menjalani saringan yang mungkin akan melambatkan pengesanan kanser payudara,” ujar Norhayati kepada Sinar Bestari.

Video inovasi dwi-bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) berdurasi kurang dari dua minit itu bermatlamat mendidik serta mempersiapkan wanita untuk prosedur tersebut dengan menyediakan maklumat yang jelas dan komprehensif mengenai mamogram, termasuk apa yang dijangka dan cara-cara untuk bersedia sebelum, semasa dan selepas mamogram dilakukan.

Video ini juga berbeza daripada video pendidikan lain kerana ia memberikan penerangan terperinci secara lakonan tentang setiap langkah yang terlibat. Ia menunjukkan gambaran keseluruhan bilik prosedur, rupa bentuk mesin mamogram dan bagaimana mamogram dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Demonstrasi prosedur pemampatan (compression) tisu payudara yang kebanyakkan wanita takut untuk menjalaninya dilakukan menggunakan fantom payudara yang diperbuat dari silikon berkualiti tinggi yang mempunyai komposisi tisu sama seperti tisu payudara manusia. Inilah komponen yang menjadikan video inovasi kami unik” ujar beliau lagi.

Video pendidikan ini dianugerahkan dengan Anugerah Khas Kelestarian Perkhidmatan disamping memenangi Pingat Emas.

Sementara itu, wakil penganjur pertandingan memaklumkan anugerah tersebut adalah pengiktirafan yang diberikan kepada perkhidmatan yang menonjol dalam aspek kelestarian, kecekapan dan keberkesanan.

"Anugerah ini diberikan kepada Breast Friend Finder KPJU yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan perkhidmatan yang disediakan dapat berterusan dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat," maklumnya.

Inovasi kedua yang berjaya memenangi pingat gangsa adalah video panduan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) memfokuskan teknik melakukan PSP dengan terperinci.

Hebahan bertulis secara konvensional dilihat kurang berkesan dalam menunjukkan teknik PSP yang betul.

Video inovasi dwi-bahasa berdurasi kurang dari dua minit itu dihasilkan menggunakan elemen interaktif dalam memberi wanita pengetahuan serta meningkatkan minat wanita untuk benar-benar mempelajari teknik-teknik tersebut.

Norhayati berkata lagi, elemen-elemen visual dan interaktif dalam video ini menjadikannya unik, bukan sahaja dapat membantu wanita mempelajari teknik PSP dengan betul, malah dapat juga membantu golongan wanita yang mempunyai masalah membaca.

Berkongsi kegembiraan itu, Norhayati turut menyatakan bahawa keunikan yang terdapat pada video-video inovasi ini mendorong kumpulannya untuk memfailkan kelulusan perlindungan harta intelek (Hak Cipta) dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia, MyIPO.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp