
Bual Bicara AMAR IPT 2025 himpun enam universiti
Enam Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta bergabung menjayakan Program Bual Bicara AMAR IPT Tahun 2025 di Dewan Al-Farabi, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Antara institusi yang terlibat adalah UPM (selaku tuan rumah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Selangor (UIS), Kolej Universiti Saito, Kolej Universiti Antarabangsa Newton dan Asia Pacific Universiti of Technology & Innovation (APU) dengan kehadiran 180 pelajar dan pensyarah.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj), Samsul Salip, penyertaan pelajar dalam badan persatuan seperti AMAR adalah suatu nilai tambah kepada mereka selain daripada pencapaian akademik di universiti.
"Pelajar harus mengambil peluang yang terhidang dengan melibatkan diri dengan pelbagai program pembangunan insan sekali gus meraih pengalaman dan kemahiran insaniah dalam berorganisasi sebelum melangkah ke alam pekerjaan," katanya.

Presiden AMAR UPM, Nurain Adira Mohamed menyifatkan Program Bual Bicara AMAR IPT Tahun 2025 membuka ruang kepada mahasiswa bertanya, berbincang dan memberi pandangan secara terbuka.
"Pelajar kita sebenarnya ada suara yang kuat, dan bila diberi peluang seperti ini, mereka berani ke depan serta tidak takut menyuarakan pendapat. Ini satu perkembangan yang sangat positif," ujar pelajar Tahun Dua dari Fakulti Ekologi UPM.
Katanya, program seperti ini bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi medan pembinaan jati diri dan latihan kepimpinan yang sebenar.

"Kita tidak mahu melahirkan graduan yang hanya cemerlang atas kertas atau hebat akademik semata-mata.
"Apa yang lebih penting adalah melahirkan individu berintegriti, berani menolak rasuah, tahu membezakan antara yang benar dan salah serta mampu berdiri teguh di atas prinsip yang betul walau diuji dengan tekanan atau godaan," jelasnya.
Sementara itu, Program Bual Bicara AMAR IPT Tahun 2025 menyediakan pelbagai pengisian menarik kepada para peserta.

Antara yang diadakan adalah Forum AMAR dan Belia! ‘Pencorak Masa Depan Negara’ menampilkan Timbalan Presiden, Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Datuk Razim Mohd Noor dan Ketua Pegawai Operasi Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU), Gurpardeep Singh sebagai panel.
Turut berlangsung, sesi perkongsian bertajuk My Name is Bond, James Bond yang disampaikan Ketua Sektor Inisiatif Antirasuah, Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM, KPKPj Mohd Nor Lokman Samingan.
Tidak ketinggalan menjayakan program kali ini, Pegawai Eksekutif CSR al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, Shahril Ahmad yang mengendalikan slot inspirasi bertajuk Zero to Hero.
