Cara didikan Dr Maszlee antara faktor Nusaybah cemerlang di Qatar
Riuh seketika di media sosial pada Rabu mengenai kejayaan Nusaybah Maszlee, 24, yang menggondol enam anugerah siswa di Universiti Georgetown, Qatar.
Nusaybah yang merupakan anak sulung mantan Menteri Pendidikan ke-19, Dr Maszlee Malik menerima anugerah siswa antaranya markah cemerlang bagi keseluruhan semester iaitu purata gred kumulatif (CGPA) 4.0, Anugerah Suma Cum Laude (pelajar paling cemerlang), Anugerah Pingat Dekan, Tesis Terbaik dan Anugerah Pelajar Paling Cemerlang pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa.
Kejayaan penuntut jurusan Bachelor International Relations and Affairs, School of Foreign Services, Universiti Georgetown, Qatar itu sekali gus membanggakan rakyat negara ini kerana dia satu-satunya mahasiswa Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang mendapat anugerah seumpama itu.
Melihatkan kepada kebijaksanaannya dalam bidang akademik, penulis yakin Nusaybah lahir dalam keluarga yang cukup mementingkan pelajaran.
Mana tidaknya, profil bapanya sebagai mantan Menteri Pendidikan ke-19 dan ibunya, Dr Hamidah Mat (seorang pensyarah) sudah cukup membuktikan yang Nusaybah dikelilingi individu yang sangat berjaya dalam akademik.
Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian yang dibuat Maszlee ketika ditemu bual dalam sebuah majalah beberapa tahun lalu.
Kata beliau, amalan suka membaca buku sememangnya sudah diterapkan kepada anak-anaknya semenjak dari kecil lagi.
“Selain membaca buku, saya juga sering menasihatkan kepada anak-anak iaitu Nusaybah, Sumayyah, Rufaydah dan Mujaddid agar sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup sepanjang masa.
“Malah, saya juga melaksanakan solat berjemaah sebagai amalan yang wajib dilakukan bersama keluarga.
"Seterusnya, waktu berkumpul bersama keluarga juga akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memberi tazkirah kepada ahli keluarga mengenai kehidupan seharian,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama anak-anak, sambung Maszlee, beliau lebih selesa memilih konsep menjadikan anak sebagai kawan.
“Anak-anak menjadi kawan kepada saya. Mereka manja cuma ada waktunya saya akan bertegas dengan mereka.
“Biasanya kami akan berbual dan berkongsi cerita walaupun dalam masa yang terhad dan pendekatan yang digunakan adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan,” jelasnya dalam sesi temu bual tersebut.
Sementara itu, bercerita mengenai kejayaan Nusaybah dalam bidang pengajiannya, Sinar Bestari mendapati hanya dua perkataan sahaja yang di muat naik Maszlee di dalam Twitternya, sebagai meraikan kejayaan anak sulungnya itu.
“Malaysia Boleh!” tulisnya di akaun Twitter pada Rabu.
Walaupun hanya itu sahaja catatan Maszlee yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah kolej universiti swasta di Cyberjaya, kira-kira 329 ciapan telah dimuat naik oleh pengguna Twitter yang rata-ratanya melahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Nusaybah.
@abdjalilb: Tahniah! Kongsikan pengalaman dan kaedah untuk membentuk ramai lagi anak muda mencapai kecemerlangan.
@za_rin: Alhamdulillah, tahniah untuk anak dan ibu bapanya!
@iqaaaaahmad: Setinggi-tinggi tahniah kepada anda!
@xIzhamx: Tahniah Dr Maszlee. Punyai permata yang membanggakan. Mohon kongsi tip bagaimana bentuk anak-anak sehingga berjaya.
Akhir sekali, jutaan tahniah kepada Nusaybah atas kejayaan membanggakan itu. Sinar Bestari sentiasa mendoakan anda agar terus cemerlang dan gemilang dalam apa jua bidang diceburi kelak.
INFO
Nusaybah Maszlee baru sahaja berusia 24 tahun.
Merupakan anak sulung kepada pasangan Dr Maszlee Malik dan Dr Hamidah Mat.
Nusaybah kini penuntut jurusan Bachelor International Relations and Affairs, School of Foreign Services, Universiti Georgetown, Qatar.
Menerima enam anugerah siswa di Universiti Georgetown, Qatar antaranya mendapat markah cemerlang bagi keseluruhan semester iaitu CGPA 4.0, Anugerah Suma Cum Laude (pelajar paling cemerlang), Anugerah Pingat Dekan, Tesis Terbaik dan Anugerah Pelajar Paling Cemerlang pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa.
Mendapat ucapan tahniah daripada pelbagai pihak berhubung kejayaan yang diraih. Antara yang memberi ucapan adalah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff menerusi akaun Twitter rasminya.