
Citra UMT terus menyerlah melalui pengiktirafan bidang baharu peringkat global
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat global melalui pencapaian cemerlang dalam pelbagai penarafan antarabangsa.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, buat pertama kali dalam sejarah, institusi itu disenaraikan sebagai salah satu universiti terbaik dunia bagi dua bidang dalam edisi terkini QS World University Rankings by Subject 2025.
“Alhamdulillah, dalam edisi terbaru QS, UMT mencatat pencapaian yang membanggakan dengan pertambahan satu lagi bidang yang diberi penarafan. Kini, dua bidang kami telah mendapat pengiktirafan dalam penarafan QS, iaitu Agriculture & Forestry serta Economics & Econometrics.
“Bidang Agriculture & Forestry, UMT berada pada kedudukan 301-350 dunia. Manakala bidang Economics & Econometrics, kita berada dalam kelompok 551-700 dunia," katanya.
Beliau berkata, QS menggunakan lima metrik utama untuk menilai penarafan berdasarkan bidang. Indikator reputasi adalah berdasarkan maklum balas lebih daripada 240,000 ahli akademik dan industri melalui tinjauan QS, manakala sitasi setiap artikel dan H-Indeks mengukur impak serta produktiviti penyelidikan. Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (IRN) digunakan untuk menilai kerjasama penyelidikan merentas sempadan.
“Penarafan dalam bidang Agriculture & Forestry merupakan pengiktirafan kepada kepakaran UMT sebagai peneraju dalam bidang sumber akuatik, yang merupakan salah satu bidang tujahan universiti.
"Manakala, pengiktirafan kepada bidang Economics & Econometrics adalah selari dengan hasrat UMT untuk menjadi pelopor ekonomi biru melalui penubuhan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru,” jelas Mohd Zamri.
Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata, walaupun UMT masih belum berjaya menempatkan diri dalam penarafan QS bagi bidang Earth & Marine Sciences, universiti itu berada di landasan yang betul untuk mencapai pengiktirafan dalam bidang tersebut.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UMT cemerlang yang bertungkus lumus melaksanakan segala projek dan aktiviti yang telah dirancang selama ini. Semoga usaha cemerlang ini diteruskan pada tahun 2025 dan tahun-tahun berikutnya, selari dengan perancangan PSUMT5.
"Pencapaian ini menjadi momentum untuk UMT terus melakar kecemerlangan selari dengan fokus pada tahun 2025, iaitu ‘Memperkukuh Kebersamaan Ke Arah Universiti Marin Terkemuka’.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen UMT dalam meningkatkan kualiti pendidikan, penyelidikan, dan inovasi, sekali gus mengukuhkan reputasinya di arena antarabangsa,” ujarnya.