

'Dari bazar ke golongan memerlukan'
2025 merupakan tahun keempat bagi Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ‘bertapak’ di bazar Ramadan Seksyen 13 di sini.
Kehadiran pasukan terdiri daripada pelajar dan petugas UiTM itu mengumpul lebihan makanan serta minuman yang tidak habis dijual.
Risalah turut diedarkan terlebih dahulu kepada peniaga bagi memberikan kesedaran supaya tidak membuang sisa makanan ke dalam tong sampah.
Penasihat program, Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah berkata, peniaga sudah mula mengenali pihak sukarelawan daripada universiti tempatan itu.

“Disebabkan ini tahun keempat, sebahagian peniaga sudah ada kesedaran.Mereka juga tahu fungsi kami di bazar itu.Setiap Ramadan memang ada.
“Biasanya sukarelawan akan kumpulkan makanan dari gerai mereka ataupun (peniaga) akan hantar ke khemah yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Apabila sukarelawan terima, kami akan rekod dan timbang makanan itu,” katanya dalam sesi Podcast Bual Bestari baru-baru ini.
Selepas proses menimbang makanan dijalankan, sukarelawan akan membungkus semula makanan dalam bentuk pek individu supaya memudahkan prosedur pengagihan kepada golongan yang memerlukan.
Apa yang lebih dipentingkan ialah kualiti lebihan makanan yang diterima pihak lain, maka Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam menampal pelekat di setiap pek untuk memastikan penerima perlu menghabiskan juadah dalam tempoh dua jam.
“Kami bungkus semula dan tampal pelekat ‘Sila habiskan dalam masa dua jam selepas menerimanya’ supaya makanan tidak basi apabila mereka mahu makan. Kita nasihatkan mereka untuk habiskan awal.

“Makanan yang kita sampaikan kepada penerima, takut mereka akan simpan sampai sahur,” katanya.
Lebih membanggakan, langkah yang diambil Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam itu mendapat pujian daripada Jabatan Kesihatan kerana mementingkan kualiti dan kebersihan makanan.
Mampu urus masa
Pengurusan masa merupakan elemen penting dalam kehidupan seseorang pelajar yang menentukan kejayaan akademik dan keseimbangan kehidupan masing-masing.
Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, mahasiswa sering berhadapan dengan pelbagai tugasan, peperiksaan dan aktiviti kokurikulum yang memerlukan pengurusan masa yang cekap.
Meskipun tanggungjawab sebagai pelajar perlu diutamakan, namun mahasiswa Sarjana Muda Undang-Undang, Siti Khairun Nissa Rusman tidak melepaskan peluang untuk sama-sama turun padang bagi ‘menyelamatkan’ lebihan makanan dan minuman.

Siti Khairun Nissa, 22, mengakui semakin bijak menguruskan masa selepas menyertai Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam memandangkan dia tidak menetap di kolej.
“Sebagai ketua sukarelawan, saya perlu urus kumpulan ini dan susun jadual. Bermula dari situ, saya mampu mengurus serta membahagikan masa untuk belajar dan tugasan sampingan ini.
“Lagipun, kita mengumpulkan makanan lebihan di bazar ini pada Isnin hingga Jumaat sahaja. Masih ada hari Sabtu dan Ahad untuk berehat,” katanya.
Dalam pada itu, cabaran yang perlu dihadapi kumpulan sukarelawan tersebut ialah kuantiti lebihan makanan dan minuman yang tidak mampu dijual di bazar Ramadan.
Nurain Nadhirah Zakuan merupakan pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia dengan Pengurusan turut berkongsi jumlah keseluruhan lebihan makanan dan minuman pernah mencecah sehingga 800 kilogram.

Selain itu, faktor cuaca yang berbeza setiap hari juga menjadi antara cabaran yang perlu sukarelawan hadapi dengan segera.
“Sukarelawan perlu mengatasi masalah ini segera untuk mempercepatkan proses timbang dan pek semula makanan kerana pihak MBSA menunggu untuk diagihkan ke kawasan sekitar.
"Seperti faktor cuaca pula, kalau mendung dan hujan sudah pasti pengunjung tidak mahu keluar rumah dan pergi ke bazar. Jadi, sebab itu terlalu banyak makanan dan minuman tidak habis dijual,” kata gadis berusia 23 tahun itu.