
Dilantik Profesor Felo UIAM! 'Murah rezeki Dr Zaini Ujang' - Warganet
Walaupun baru bersara sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun kepakaran dan kemahiran Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang tetap menjadi dambaan ramai.
Terbaharu, tokoh hebat yang berusia 60 tahun ini telah dilantik sebagai Profesor Felo di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Difahamkan, jawatan itu (Profesor Felo) baru sahaja diwujudkan di UIAM sekali gus menjadikannya antara universiti awam terawal di Malaysia yang memperkenalkan jawatan tersebut.
Menurut Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pelantikan Zaini diharap dapat memperkukuh kecemerlangan akademik UIAM dan menjadikannya peneraju dalam pembangunan etika kelestarian alam sekitar menurut perspektif Islam.
"Dengan pengalaman luas dalam pengurusan pendidikan tinggi, beliau akan memberikan khidmat nasihat dalam reformasi pendidikan bukan sahaja di UIAM tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Zaini secara rasminya telah menerima surat lantikan daripada Osman di UIAM Kampus Gombak pada Selasa.
Jawatan Profesor Felo KAED UIAM itu akan digalas selama setahun, berkuat kuasa 4 Mac 2025.
Pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangan Zaini dalam bidang akademik khususnya berkenaan kelestarian alam sekitar, dasar pendidikan tinggi, dan penyelidikan strategik.
Beliau akan memainkan peranan dalam membantu menaikkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan; membangunkan institusi dan tadbir urus strategik; mengukuhkan jaringan global serta memperluaskan kerjasama industri dan komuniti.
Selain itu, Zaini turut berperanan dalam memperkukuh jaringan akademik UIAM khususnya di Kulliyyah Kejuruteraan (KOE) dengan menjalin kerjasama strategik bersama institusi berprestij seperti Harvard, MIT, Kyoto University dan Imperial College London.