Dr Profesor Adeeba Kamarulzaman. Kredit foto: Portal Universiti Monash.
Dr Profesor Adeeba Kamarulzaman. Kredit foto: Portal Universiti Monash.

Dr Adeeba CEO baharu Universiti Monash Malaysia

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
07 Feb 2023 06:04pm
A
A
A

Dr Profesor Adeeba Kamarulzaman baru-baru ini telah diumumkan sebagai CEO baharu Universiti Monash Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh universiti tersebut, mereka turut melantik Adeeba sebagai Pro Naib Canselor dan Presiden (Malaysia), Universiti Monash Australia yang akan berkuatkuasa Mei nanti.

Presidennya, Profesor Margaret Gardner AC berkata, Adeeba yang juga merupakan alumni Universiti Monash adalah peneraju di dalam bidangnya dan memegang peranan penting dalam program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) serta projek Kurikulum Perubatan Pasca Siswazah Kebangsaan di Universiti Malaya (UM).

Ujar beliau, sebagai seorang sarjana, Adeeba telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta menggunakan minat penyelidikannya dalam bidang perubatan bagi kebaikan orang ramai terutamanya dalam usaha meningkatkan kualiti rawatan HIV.

“Sumbangan beliau kepada agenda pendidikan Malaysia, komitmen serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada program rawatan dan pencegahan HIV akan membantu meningkatkan reputasi Monash.

“Ini akan meningkatkan reputasi Monash sebagai sebuah institut pendidikan yang penting untuk memacu agenda kecemerlangan Malaysia dalam bidang pendidikan dan penyelidikan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Adeeba, pelantikan ini satu penghargaan yang besar kepadanya dan pastinya dia berbesar hati kerana diamanahkan untuk mengemudi Universiti Monash Malaysia yang merupakan salah satu institut pendidikan terbaik dalam negara.

“Saya teruja untuk bekerja bersama Monash Australia dan Indonesia serta mahu mengukuhkan jalinan hubungan antara universiti tempatan terutamanya bersama UM serta Universiti Sunway.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai seorang alumni, untuk diamanahkan dengan tanggungjawab bagi memimpin Universiti Monash yang juga antara institusi pendidikan terbaik dalam negara adalah satu penghargaan yang besar buat saya,” katanya yang juga merupakan Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit di UM serta merupakan Pengarah, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam Aids (CERiA).

Sebelum menerima tawaran Universiti Monash, Adeeba merupakan Dekan Fakulti Perubatan, UM dan kepimpinan beliau terbukti melalui transformasi kurikulum sarjana muda dan pascasiswazah teguh yang dibawanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok