Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham dilantik Canselor Universiti Cyberjaya

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Oct 2023 02:34pm
A
A
A

Universiti Cyberjaya (UoC) melantik bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Canselor baharu dan yang ketiga berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Beliau akan menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Anwar Ali yang telah berkhidmat dengan universiti itu sejak 2019.

Menurut UoC, pelantikan Dr Noor Hisham sebagai Canselor dibuat kerana reputasi kerjaya yang luar biasa sebagai bekas Ketua Pengarah Kesihatan selain mempunyai peranan penting dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Dr Noor Hisham membawa pelbagai pengalaman dan kepakaran kepada institusi kami.

“Visi beliau sejajar dengan misi UoC iaitu menyediakan akses yang adil dan saksama kepada pendidikan perubatan berkualiti serta menyumbang kepada penjagaan kesihatan global.

“Kami yakin kepimpinannya akan mendorong UoC ke tahap yang baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, dirinya berbangga dengan visi dan misi UoC serta yang lebih penting lagi, beliau percaya universiti tersebut mempunyai potensi besar di Malaysia seterusnya berusaha menjadi pusat pendidikan penjagaan kesihatan terbaik di Pasifik Barat.

Artikel Berkaitan:

“Nilai teras UoC adalah untuk meningkatkan komuniti tempatan dan serantau dengan akses saksama kepada pendidikan perubatan berkualiti akan menjadi salah satu elemen utama dalam merealisasikan dan menyampaikan liputan kesihatan sejagat di peringkat tempatan dan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai info, Dr Noor Hisham bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lalu selepas 35 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, namun kini kembali bertugas di Insititut Endokrin Hospital Putrajaya.

Difahamkan, beliau bakal menawarkan khidmatnya di bilik pembedahan institut berkenaan pada setiap Isnin dan konsultasi di klinik pada Selasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok