
Dr Rafiah genggam PhD di usia emas
Menjadi nenek kepada empat cucu bukan penghalang bagi Dr Rafiah Kassim, 73, meraih Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan pada Istiadat Konvokesyen ke-103 Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lebih membanggakan, beliau menamatkan pengajian dan penyelidikan berkaitan guru prasekolah hanya dalam tempoh tiga tahun.
Bagi Rafiah, pencapaian itu adalah hasil gabungan semangat belajar tanpa mengenal usia, disiplin, dan pengalaman luas sebagai pengusaha prasekolah selama hampir tiga dekad.

Kesedaran untuk mengekalkan minda aktif dan berpengetahuan dalam pelajaran serta agama menjadi dorongan utama beliau.
"Belajar tidak mengenal usia. Kita tidak boleh membiarkan minda pasif. Saya memang berminat menyambung pengajian ketika muda, namun ketika itu banyak gangguan," katanya ketika ditemui.
Rafiah antara 193 individu yang menerima PhD masing-masing daripada Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada istiadat di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Ibu kepada tiga juruterbang itu berkata, pengajian di peringkat PhD dilakukan semata-mata untuk kepuasan diri dan bagi melengkapkan ilmu pengetahuan.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengurus prasekolah di Bangsar, Kuala Lumpur selama 27 tahun sebelum menutup operasinya dua tahun lalu.
"Bila mula, hanya enam murid hingga berkembang kepada 70 orang. Bila ramai, jangan terlalu fokus pada keuntungan. Semua orang sukakan wang, tetapi keikhlasan itu lebih penting.

"Kita semua sama tanpa mengira kaya atau miskin, warna kulit atau agama," ujarnya.
Ringkasan AI
- Dr. Rafiah Kassim, berumur 73 tahun, meraih PhD dalam bidang pendidikan di UiTM
- Beliau menamatkan pengajian dan penyelidikan berkaitan guru prasekolah dalam tempoh tiga tahun
- Pencapaian itu datang daripada semangat belajar tanpa mengenal usia, disiplin, dan pengalaman mengurus prasekolah selama hampir tiga dekad
- Kesedaran untuk menjaga minda aktif dan berpengetahuan merupakan dorongan utamanya
- Rafiah mengurus prasekolah di Bangsar selama 27 tahun dan menekankan pentingnya keikhlasan dalam perniagaan