No Image Caption

Jangan pernah putus asa! Lelaki ini genggam ijazah undang-undang pada usia 50 tahun

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
05 Nov 2025 07:37pm

Jika adik-adik rasa sudah terlambat untuk capai cita-cita, kisah Sivanesan Sanmugalingam ini pasti beri semangat baharu!

Bayangkan, pada usia 50 tahun, beliau berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali gus satu pencapaian yang membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk belajar dan berjaya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah menangguhkan impiannya hampir tiga dekad disebabkan kekangan kewangan dan kerjaya. Namun, semangat dan keazaman yang tidak pernah padam membuatkan beliau kembali ke kampus untuk menyambung pelajaran yang tertangguh sejak tahun 1990-an.

“Sekitar tahun 1995, saya pernah mengikuti pengajian di University of London External Programme tetapi tidak sempat menamatkannya. Kini, setelah 30 tahun, saya berjaya menebus impian itu,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UniSZA ke-17.

Mengimbas kembali detik permulaannya pada September 2021, Sivanesan mengakui keputusan kembali belajar di usia matang bukan perkara mudah.

Beliau perlu menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran moden serta budaya generasi muda yang serba digital. Namun, katanya, pengalaman belajar bersama pelajar muda amat bermakna.

“Pelajar muda hari ini sangat menghormati antara satu sama lain walaupun mereka lebih pendiam dalam kelas. Saya banyak belajar daripada semangat dan kesopanan mereka,” ujarnya.

Kini, beliau bakal memulakan latihan dalam kamar (chambering) minggu depan iaitu langkah penting menuju kerjaya sebagai peguam bertauliah.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu untuk saya terus menyumbang dalam bidang undang-undang. Usia bukan penghalang untuk mencapai impian,” katanya penuh semangat.

Mengulas cabaran, Sivanesan tidak menafikan jurang usia menjadi ujian utama. Namun, katanya, sikap rendah diri, sabar dan terbuka membantu beliau menyesuaikan diri dan membina hubungan baik dengan rakan sekelas.

“Kita yang lebih berumur perlu belajar memahami cara mereka. Apabila kita tidak terlalu ego dan cuba menyesuaikan diri, hubungan jadi lebih indah,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada isteri tercinta, Fazilak Anak William Timri, 48, dan anak tunggal mereka atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh pengajian.

Ringkasan AI

  • Sivanesan Sanmugalingam berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 50 tahun di Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu menangguhkan impian disebabkan kekangan kewangan dan kerjaya hampir tiga dekad
  • Beliau kembali menyambung pelajaran yang tertangguh sejak tahun 1990-an setelah 30 tahun
  • Sivanesan perlu menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran moden dan budaya generasi muda yang serba digital
  • Kini, beliau bakal memulakan latihan dalam kamar sebagai langkah menuju kerjaya peguam bertauliah
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp