Dr Victor menunjukkan skrol yang diterima selepas berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD di UniSZA.
Dr Victor menunjukkan skrol yang diterima selepas berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD di UniSZA.

Peguam veteran tamat PhD pada usia 85 tahun

NORHASPIDA YATIMNORHASPIDA YATIM
03 Nov 2025 06:00pm

Seorang peguam veteran, Datuk Dr Victor Isaacs melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada usia 85 tahun di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bapa kepada empat anak yang memiliki enam cucu itu memutuskan untuk menyambung pengajian selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana selama dua tahun di universiti berkenaan.

Menurutnya, tesis beliau yang bertajuk 'Pengaruh Doktor, Peguam dan Jururawat terhadap Penggubalan Undang-undang Eutanasia di Malaysia' disifatkan mencabar kerana melibatkan isu sensitif berkaitan undang-undang dan etika perubatan.

"Dalam undang-undang kita, tindakan mencabut alat sokongan hayat pesakit adalah satu kesalahan.

"Sebab itu saya mencadangkan supaya UniSZA mewujudkan rumah penjagaan paliatif (palliative care home) dalam kampus bagi memberi rawatan dan penjagaan kepada pesakit tenat," katanya ketika ditemui sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Gong Badak pada Ahad.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pesakit yang tidak lagi dirawat di hospital tetap mendapat penjagaan sewajarnya.

"Kalau kerajaan tidak mampu sediakan rumah penjagaan di setiap negeri, hospital swasta boleh memainkan peranan.

"Pesakit yang mampu boleh membayar sendiri manakala yang kurang berkemampuan boleh ditanggung kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas cabaran sepanjang empat tahun pengajian, Dr Victor mengakui faktor usia menjadi kekangan utama, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

"Cabaran utama saya ialah faktor usia tetapi bagi saya topik ini mencabar dan memberi manfaat kepada masyarakat. Itu yang menjadikan saya terus bersemangat," katanya.

Menceritakan latar belakang kerjayanya, beliau berkata, selepas pulang dari England pada tahun 1971, beliau memulakan perkhidmatan sebagai Majistret sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen.

"Tahun 1978 saya letak jawatan dan menjadi peguam. Kini sudah 51 tahun saya berkhidmat sebagai peguam, mungkin saya antara yang paling lama di Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata, minat mendalam terhadap ilmu telah dipupuk sejak muda, malah kehilangan isterinya sejak enam tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang menuntut ilmu.

"Saya pernah menjadi guru, malah ayah saya juga seorang guru sekolah memandu. Ilmu memang dekat dengan jiwa saya.

"Walaupun kehilangan isteri sejak enam tahun lalu, saya masih tetap meneruskan pengajian dengan semangat baharu melalui bidang pendidikan dan perkhidmatan guaman.

"Saya percaya, setiap individu berpeluang untuk berjaya jika diberikan dorongan dan peluang secukupnya kerana menuntut ilmu tidak mengenal usia dan usah takut kepada kegagalan kerana ia adalah guru yang sebenar," ujarnya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp