Nineta (empat dari kiri) dan Md Amin (empat dari kanan) bersama pegawai kanan UPSI dan wakil Romania di Bangunan Canselori universiti itu, baru-baru ini.
Nineta (empat dari kiri) dan Md Amin (empat dari kanan) bersama pegawai kanan UPSI dan wakil Romania di Bangunan Canselori universiti itu, baru-baru ini.

Duta Romania kagum budaya Malaysia

03 Mar 2024 02:49pm

Duta Romania ke Malaysia dan Brunei, Nineta Barbulescu yang mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) Rabu lalu, melahirkan rasa kagum terhadap seni dan budaya negara.

Malah, beliau juga teruja dengan seni halus tradisional yang ada di negara ini.

Katanya, batik di Malaysia mempunyai persamaan dengan motif seni Romania.

“Lukisan adalah satu aspek yang boleh dikembangkan sebagai salah satu instrumen perkongsian silang budaya dalam bidang seni halus antara Malaysia dan Romania,” ujar Duta Romania ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menyambut kunjungan delegasi Kedutaan Romania tidak ketinggalan berkongsi sejarah penubuhan UPSI dan portfolio menyeluruh berkaitan perkembangan universiti itu.

Beliau berkata, UPSI terkenal sebagai institusi yang melahirkan guru untuk memajukan pendidikan rakyat di negara ini.

“UPSI mempunyai kursus berkaitan seni visual untuk melahirkan guru-guru seni yang kreatif mengajar di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Malah, lokasi kampus juga sangat cantik dan berupaya menarik pengunjung kerana terletak di sisi Banjaran Titiwangsa,” katanya kepada delegasi Romania.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nineta menjemput UPSI untuk menyertai konsortium-konsortium yang ditubuhkan kerajaan Romania berkaitan meta-data, sains, matematik dan lain-lain bidang.

Beliau juga turut menjemput UPSI untuk mewujudkan satu ruang aktiviti kerjasama perkongsian silang budaya yang memfokuskan kebudayaan, fesyen, kesenian serta makanan tradisional antara Malaysia dan Romania.

Terdahulu, rombongan dibawa merasai pengalaman mengelilingi kampus UPSI dengan menaiki ‘Sightseeing Buggy Tourism’ iaitu produk baharu yang diperkenalkan pihak Bahagian Komunikasi Korporat (BKK).

Mereka juga berpeluang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun, Galeri Seni dan Muzium Pendidikan yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Hadir sama dalam siri lawatan itu adalah beberapa wakil dari UPSI iaitu Pengarah Jabatan Strategik, Profesor Madya Dr Azmi Mohamad; Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Dr Ridzwan Che Rus; Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Profesor Dr Khoo Yin Yin dan Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Profesor Dr Tajul Shuhaizam Said.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp