Kenali budaya Malaysia di Kolej Komuniti Selayang
Sekumpulan pelajar Sekolah Tinggi Meishu Gakuen Hitachi, Jepun berpeluang mempelajari budaya Malaysia ketika sesi lawatan ke Kolej Komuniti Selayang (KKSY), Batu Caves, Selangor, Selasa lalu.
Budaya negara yang dimaksudkan itu adalah melalui permainan tradisional, pembuatan kuih tradisional, tarian tradisional dan sebagainya.
Menurut kenyataan media KKSY, pelajar Jepun seramai 188 orang telah digandingkan dengan pelajar kolej dikenali ‘buddies’ (rakan) bagi memudahkan mereka mengikuti aktiviti disediakan.
“Mereka (pelajar Jepun) diperkenalkan dengan permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, ceper dan dam haji.
“Tidak ketinggalan, mereka turut diperkenalkan dengan tarian tradisional ‘Joget Pahang’ sekali gus menyanyi bersama-sama lagu Lemak Manis dendangan Roslan Madun.
“Seterusnya, peserta lawatan berkesempatan mengikuti kursus pendek membuat teh tarik, kuih cara dan onde-onde,” ujar kenyataan tersebut.
Pengarah KKSY, Dr Noriah Abdul Malek berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan perwakilan dari negara luar untuk menjalin kerjasama dan perkongsian ilmu antara institusi yang dapat memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah.
“Kerjasama ini mendedahkan pelajar daripada kedua-dua institusi tentang aspek kehidupan dalam memupuk persefahaman kebudayaan terhadap budaya asing di samping meningkatkan komunikasi interpersonal peserta.
“Selain itu, peluang sebegini juga dilihat sebagai ruang dan peluang untuk membina individu holistik, kreatif dan inovatif serta berdaya saing,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar semester tiga, Program Operasi Perhotelan KKSY, Ahmad Azhar Afandi melahirkan rasa teruja ketika menyantuni kumpulan pelajar Jepun ke kolej mereka
Katanya, kehadiran pelajar berkenaan secara tidak langsung memberi peluang untuknya berkomunikasi dengan lebih dekat rakan-rakan dari negara matahari terbit itu.
“Pada mulanya, cara berkomunikasi amat sukar dan terhad untuk menyampaikan sesuatu, tetapi saya atasinya dengan menggunakan pelbagai kemudahan lain dalam berkomunikasi.
“Alhamdulillah, semuanya lancar dan kami saling bertukar nombor telefon dan media sosial bagi mengekalkan persahabatan ini,” jelasnya.
Untuk rekod, lawatan pelajar Jepun yang dikenali Program Mobiliti Pelajar melibatkan seramai 366 orang, masing-masing 188 dari Jepun dan 178 dari KKSY.
Turut serta dalam program berkenaan ialah 12 tenaga pengajar Sekolah Tinggi Meishu Gakuen Hitachi dan 30 dari kolej berkenaan.