Kejayaan empat beradik yang melanjutkan pengajian di UMS jadi inspirasi ramai.
Kejayaan empat beradik yang melanjutkan pengajian di UMS jadi inspirasi ramai.

Empat beradik termasuk kembar tiga pilih UMS lanjut pengajian

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
01 Oct 2024 08:00am
A
A
A

Demi memberi laluan kepada dua adik kembarnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), seorang kakak sanggup berkorban menangguhkan pengajiannya di Tingkatan Enam dan bekerja sambilan selama setahun untuk membantu meringankan beban kedua ibu bapanya.

Theodolyn Maryiel Samuti, 21, yang terpisah daripada dua kembarnya selama dua tahun akhirnya menarik nafas lega apabila turut ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang jurusan psikologi di universiti sama.

Menurut Thedolyn Maryiel, dia memilih menangguhkan pengajiannya dan bekerja di sebuah kafe di Beaufort, Sabah kerana mahu mengumpul wang sendiri terlebih dahulu.

"Ini adalah pilihan masing-masing dan saya sendiri. Dua adik kembar saya memilih untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang kejururawatan dan saya pula jurusan psikologi dalam peringkat ijazah melalui Tingkatan Enam.

"Saya tidak bersama dengan dua adik kembar kerana saya tidak terus melanjutkan pengajian selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya bekerja selama setahun untuk mengumpul wang terlebih dahulu.

"Saya memasuki Tingkatan Enam pada tahun kemudiannya bersama seorang lagi adik lelaki dan kini kami bersama-sama mendaftar di UMS untuk pengajian di peringkat ijazah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di UMS pada Ahad.

No Image Caption

Sementara itu, Theodoriel Mirinus, 20, mengakui agak gembira kerana turut berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti bersama tiga kakak kembarnya.

"Saya gembira kerana tidak ketinggalan bersama mereka dan sekurang-kurangnya tidak berseorangan terutama menghadapi cabaran ketika berada di universiti ini," katanya.

Bagi Theodorica Viona pula, pengalaman yang ada padanya sejak mendiami UMS dua tahun lalu, menjadi kelebihan untuknya memberi tunjuk ajar kepada kakak dan adik yang baru mendaftar di universiti itu.

"Di sini pergerakan menggunakan bas dan selalu penuh. Jika lambat, terpaksa bersesak dan ada kemungkinan akan terlepas bas. Jadi pergerakan di sini saya sudah beritahu mereka bagaimana keadaannya," katanya.

Kembar ketiga, Theodoreen Maryiela mahu peluang belajar bersama-sama di UMS tidak disia-siakan.

"Kami memang rapat sejak kecil dan tidak pernah berpisah. Pada awalnya, ketika kakak tidak menyertai kami untuk melanjutkan pengajian memang agak sedih, tetapi sekarang sudah tentu saya gembira dan akan sentiasa bersama-sama," katanya.

Bagi ibunya pula, Monica Lok Shui Len, 48, gembira apabila empat anaknya kini berada di universiti yang sama dan ia memudahkan mereka untuk menjenguk jika ada masa lapang.

Monica
Monica

"Dari segi kewangan, saya dan suami ada menyimpan sedikit wang untuk persekolahan anak-anak dan saya bersyukur juga kerana dua anak kembar ada menerima bantuan dari segi biasiswa.

"Dua lagi yang baru melanjutkan pengajian ini sedang dalam proses permohonan biassiswa.

“Jadi saya berharap mereka akan mendapat bantuan sekali gus membantu meringankan beban kami sekeluarga untuk menanggung kos keempat-empat anak yang telah memasuki universiti," katanya yang juga seorang suri rumah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok