Food Bank POLIMAS bantu mahasiswa B40 dapatkan bekalan makanan
Hari ini, mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) dilihat sebagai individu yang paling terkesan kerana peningkatan kos sara hidup yang begitu tinggi.
Ini dapat dilihat apabila sebahagian besar mahasiswa terpaksa mencatu wang saku yang diberi keluarga, perlu berjimat cermat, kerap berpuasa dan terpaksa mengikat perut akibat kesempitan kewangan.
Menyedari permasalahan yang dialami para penuntut IPT di negara ini, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) tampil dengan inisiatif tersendiri dalam membantu mahasiswa mereka.
Terbaharu, POLIMAS telah menganjurkan program Food Bank yang bertujuan membantu penuntut sepanjang pengajian.
Menurut Pengerusi, Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan POLIMAS, Abdul Rahman Huraisen Masri, Food Bank diwujudkan bagi menolong mahasiswa yang terjejas dengan kos sara hidup di kampus.
“Saya akui kehidupan sebagai penuntut IPT sangat mencabar terutamanya isu kos sara hidup yang memberi impak besar kepada mereka dalam memenuhi keperluan asas harian.
“Oleh itu, kewujudan Food Bank ini diharapkan dapat membantu penuntut khususnya golongan B40 yang kurang bekemampuan untuk mengurangkan perbelanjaan seharian di POLIMAS,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Food Bank bertindak menyalurkan bantuan melalui agihan makanan asas kering seperti roti, biskut, minuman dan lain-lain lagi.
Bekalan makanan ini diletakkan di rak yang disediakan di POLIMAS dan penuntut boleh mengambilnya pada bila-bila masa.
Sementara itu, penuntut Semester Dua, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Nadhirah Solehah Mohd Nazahar berkata, program Food Bank yang dianjurkan POLIMAS amat membantu meringankan perbelanjaan dia di kampus.
“Setiap pagi saya dan rakan-rakan akan ke sini untuk mengambil roti sebagai alas perut sebelum memulakan kuliah.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan duit saya pada hari tersebut,” ujarnya.
Penuntut Semester Dua, Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Lim Yong pula melahirkan penghargaan kepada politeknik itu kerana sentiasa prihatin dengan masalah mahasiswanya.
“Saya sangat menghargai usaha yang dibuat oleh politeknik. Terima kasih atas segala sumbangan dan keprihatinan yang diberikan,” tuturnya.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, pihak pengurusan politeknik sangat menghargai usaha yang dibuat Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan POLIMAS menerusi Food Bank.
“Usaha murni ini sangat membanggakan dan saya berharap ia akan berterusan bagi membantu penuntut yang benar-benar memerlukan,” akhiri Rosli.