Ahmad Zahid (tengah) melawat reruai pameran pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM. Turut hadir Massila (kanan).
Ahmad Zahid (tengah) melawat reruai pameran pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM. Turut hadir Massila (kanan).

Formula UTeM wujud 25,000 peluang kerja bergaji premium

NURBAYA ABDUL REZAK
19 Jan 2024 09:00am
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menampilkan formula strategik menerusi TVET Place & Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, TVET Place & Train UTeM@KPT merupakan formula khas dibangunkan universiti melalui empat inisitif kerangka utama iaitu JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).

Menurutnya, program berimpak tinggi itu juga dilihat sebagai gerbang kebolehpasaran graduan serampang 'empat mata' sejajar konsep Ekonomi Madani di samping membantu komuniti dan negara secara keseluruhannya menangani pengangguran serta menyuntik pertumbuhan ekonomi mampan nasional.

“Inisiatif pertama menerusi JELITA@UTeM@KPT melahirkan 60 peratus tenaga kerja wanita dalam industri Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mana uniknya JELITA memberi penekanan kepada high TVET menerusi kursus atau persijilan profesional Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau melibatkan badan profesional.

“Sehingga kini, JELITA telah mengorak langkah dengan sebanyak 2,700 pendaftaran direkodkan serta beberapa kursus high TVET dilaksanakan melibatkan machine learning (pembelajaran mesin) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Massila berkata, UTeM-Industrial Playground pula merupakan inisiatif berteraskan Work-Based Learning antara UTeM bersama lebih 200 buah syarikat industri pelbagai peringkat multinasional dan menyediakan lebih 10,000 peluang kerja TVET.

“Antara program kerjasama yang dijayakan adalah seperti Teaching Factory, R&D Laboratory, WBL, 2u2i, pusat kajian dan 3u1i yang akan mewujudkan satu ekosistem industri dalam universiti.

“Agenda ini melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran yang menepati kehendak industri bersama pekej nilai tambah kepada graduan bagi memenuhi syarat gaji premium,” kataya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid (tengah) menandatangani plak gimik pelancaran Akademi TVET Wanita@UTeM pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM.
Ahmad Zahid (tengah) menandatangani plak gimik pelancaran Akademi TVET Wanita@UTeM pada majlis perasmian Program TVET Place and Train UTeM@KPT di Dewan Canselori UTeM.

Mengulas mengenai inisiatif ketiga, beliau berkata, selari dengan Niche Area UTeM iaitu Advanced Manufacturing and Computing Technology, UTeM telah diberikan mandat mengetuai platform ketiga iaitu Industry-MTUN Cyber Security Consortium yang berperanan utama memberdaya kemahiran dan kemampuan pelajar MTUN dalam Cybersecurity bagi memenuhi hasrat negara membekalkan 25,000 tenaga kerja dalam bidang ini.

“Akhir sekali, inisiatif keempat ialah National Industrial Career Expo (NICE@UTeM) dengan kerjasama Talentbank dalam TVET Place & Train UTeM@KPT menepati konsep industry relevant dan job ready.

“Ia mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pihak industri dengan jaminan peluang pekerjaan ditawarkan di dengan tawaran gaji premium (lebih RM4,000) buat graduan di samping melonjakkan peratusan kebolehpasaran graduan lebih 97 peratus,” ulasnya.

Beliau berkata, program ini jelas menzahirkan betapa serius dan komitednya UTeM dalam merealisasikan hasrat KPT dan negara berkaitan kebolehpasaran graduan.

“Untuk makluman, UTeM menduduki tempat keempat bagi peratusan kebolehpasaran graduan Ijazah Pertama bekerja dalam bidang sama dan tempat kedua seluruh IPTA bagi peratusan kebolehpasaran graduan Ijazah Sarjana Muda Universiti Awam bagi tahun 2022.

“Melalui TVET Place & Train UTeM@KPT ini, kita menyasarkan 100 peratus graduan bekerja dalam bidang menjelang 2030 nanti,” katanya.

Program TVET Place & Train UTeM@KPT yang berimpak nasional ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor UTeM, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok