Future Ready Week platform persediaan kerjaya pelajar
Future Ready Week, program anjuran KPJ Healthcare University (KPJU) yang julung kali diadakan menjadi platform pelajar mempersiapkan diri sebelum memasuki tempoh latihan industri klinikal dan bukan klinikal serta alam pekerjaan selepas tamat pengajian.
Penasihat program, Farah Hidayu Nordin berkata, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 November itu, padat dengan aktiviti, selain perkongsian pelbagai pihak agar dapat memperkenalkan pelajar sebelum menceburi dunia kerjaya khususnya di tahun akhir.
"Kita ingin mempersiapkan mereka bukan sahaja dari segi akademik tetapi mengasah kemampuan dari aspek soft skills.
"KPJU juga hendak membuka ruang agar pelajar ini lebih peka dan didedahkan dengan pengalaman sebenar industri pekerjaan.
“Selari dengan visi universiti, program ini diharapkan dapat melahirkan para pelajar yang dinamik dan holistik bagi memenuhi keperluan industri,” kata Farah Hidayu pada Sinar Bestari.
Beliau berkata demikian selepas program Alumni Sharing bertajuk Clinical Competency and Professionalism: Alumni Perspectives On Excelling In Clinical Postings, dengan perkongsian daripada tiga alumni KPJU, Nilai, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja membina kemahiran praktikal tetapi berfungsi sebagai medium untuk pelajar berhubung dengan profesional dalam industri pekerjaan melalui penglibatan alumni.
"Dengan ini, peserta dalam kalangan pelajar memperoleh gambaran yang sejajar dengan jangkaan mereka apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
"Pelajar bukan sahaja dapat belajar kemahiran praktikal tetapi membina keyakinan dan pemahaman yang mendalam tentang etika yang diperlukan untuk berjaya,” tambah beliau lagi.
Pengalaman baharu
Sementara itu, wakil alumni, Najihah Ramly meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang berkongsi pengalaman dan ilmu kepada 'junior'.
Menurutnya, langkah itu sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada pelajar KPJU, sebelum melangkah masuk ke dunia pekerjaan.
Dia yang merupakan alumni 2013 dan kini telah bekerja sebagai Manager Medical Record CMH Specialist Seremban memberitahu, program seumpama itu amat penting untuk para pelajar bersiap sedia dengan latihan industri klinikal dan ke alam kerjaya.
"Saya harap perkongsian pengalaman ini membuka mata dan memberi pengalaman baharu buat para pelajar.
"Saya doakan agar mereka dipermudahkan segala urusan ketika latihan industri klinikal dan masuk dunia pekerjaan nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Future Ready Week yang berlangsung selama tiga hari telah dimulakan dengan sesi bual bicara bersama Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri, Akmal Ariff menerusi tajuk Steeping Into Work Life dan Workshop Session: Interview Excellent for Graduates yang terbahagi kepada dua modul iaitu Professional Grooming dan Resume Writing.
Selain itu, turut diadakan sesi bual bicara bertajuk 100 Graduate Choice Award, Maybank bersama Nur Amira Adiba dan Amirul Hakim Ramli.
Ia diikuti dengan sesi simulasi temu duga kerja pada hari kedua dan acara ditutup dengan penganjuran Alumni Sharing di hari terakhir iaitu pada Rabu.