'Gadget Avengers 1' perkasa literasi digital pelajar luar bandar
Menyedari betapa pentingnya kesedaran dan kemahiran siber serta melindungi data peribadi bermula dari alam persekolahan, sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) tampil melaksanakan satu program literasi digital.
Program yang dinamakan Gadget Avengers 1 hasil inisiatif pelajar Kursus Asas Fasilitator UiTM Cawangan Negeri Sembilan itu memilih sebuah sekolah kurang murid iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Raja di Kota, Negeri Sembilan pada Selasa.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus berkata, program itu telah disertai seramai 36 orang murid dari Darjah Satu hingga Lima.
"Gadget Avengers 1 ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar dalam penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab, menilai maklumat dalam talian secara kritis, serta mendidik mereka tentang keselamatan siber dan perlindungan data peribadi.
"Program ini juga menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk pembelajaran dan kreativiti," katanya sambil meluahkan harapan agar usaha murni berkenaan dapat diteruskan kelak.
Sementara itu, Ketua Projek, Siti Nurhazwani Jaafar berkata, Gadget Avengers 1 memberi peluang kepada pelajar UiTM mempraktikkan kemahiran insaniah yang dipelajari dalam kelas kokurikulum.
"Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini termasuklah ceramah 'Meneroka Alam Digital' oleh penasihat program, Nurul Nisha Mohd Shah; permainan dalam kumpulan dan sesi pembentangan dalam kumpulan untuk membangunkan keyakinan diri dan komunikasi murid-murid.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Sawah Raja, Zakaria Md Saleh berkata, program ini sejajar dengan Teras ke-7 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.
Beliau turut memuji inisiatif UiTM dalam memberikan pendedahan kepada murid seawal sekolah rendah untuk menggunakan gadget dengan bijak.
Sempena program ini juga, pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan SK Sawah Raja telah menandatangani sijil penghargaan jalinan kerjasama sebagai asas kepada program-program yang akan datang.