Mek Yun menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik baru-baru ini.
Mek Yun menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik baru-baru ini.

Gadis Cina Kelantan, Mek Yun raih 2 anugerah terbaik UTHM!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
13 Jun 2023 11:59pm

Pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang lalu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, UTHM, Wee Yun Nee telah meraih dua anugerah.

Wee Yun Nee atau mesra disapa Mek Yun telah menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik.

Hari ini, selain dikenali ramai dalam kalangan pengguna TikTok kerana kefasihannya bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan, gadis cantik berusia 26 tahun ini telah berjaya mengumpul ratusan ribu pengikut dan meraih kira-kira belasan juta tanda suka di TikTok.

Manakala di Instagram pula, Mek Yun memiliki lebih 200,000 pengikut dan menurut Mek Yun, dia berkongsi koleksi video pendek di TikTok dan Instagram bertujuan memotivasikan golongan belia terutama pelajar.

“Saya mahu pelajar bijak membahagi masa sekiranya mereka ingin berjaya dalam pelajaran.

"Kerana itu, saya kongsi sedikit motivasi dan kata-kata semangat buat mereka melalui laman sosial tersebut,” katanya yang kerap memuat naik video mengandungi mesej bermanfaat di TikTok dan Instagram.

Sepanjang bergelar mahasiswa di UTHM sebelum ini, Mek Yun berusaha menyusun masa dengan sebaiknya agar pengajiannya berjalan lancar.

“Saya tidak mahu abaikan tanggungjawab sebagai penuntut walaupun pada ketika itu saya aktif sebagai Digital Content Creator,” katanya yang pernah mendapat keputusan 4 Flat dan menerima beberapa anugerah emas dan perak ketika menyertai pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi.

Artikel Berkaitan:

Akhir sekali, Mek Yun menitipkan sedikit pesanan kepada bakal graduan agar tidak belajar di saat akhir bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam semua subjek.

“Rancang dahulu jadual harian supaya kita lebih bersedia dan jika tidak faham tentang sesuatu topik, teruslah bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan,” jelasnya.

Istiadat Konvokesyen ke-21 UTHM yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk menyaksikan seramai 4,485 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp