Kredit foto; Pexels
Kredit foto; Pexels

Gempa bumi di Turkiye, pelajar Malaysia selamat

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
08 Feb 2023 04:23pm
A
A
A

Ekoran gempa bumi besar yang menggegarkan Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu, Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (MASAT) telah mengesahkan mereka masih tidak menerima sebarang laporan berkenaan pelajar Malaysia yang terkesan.

Presiden MASAT, Adib Azman berkata, persatuan tersebut telah membuat hebahan dan menghubungi pelajar di kawasan yang terjejas termasuk di Gaziantep, bandar yang paling hampir dengan pusat gempa.

Ujar Adib, terdapat dua pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Gaziantep dan mereka disahkan selamat daripada kejadian gempa itu.

Katanya lagi, MASAT juga membuat semakan dengan pelajar tahfiz tanah air di sana dan sebilangan dari asrama penginapan ranap dek gempa itu serta beberapa rakan mereka dari negara lain turut terkorban.

“Syukur setakat ini masih tiada pelajar tahfiz Malaysia yang terkesan dan sekarang mereka ditempatkan di masjid berhampiran yang dijadikan pusat perlindungan sementara waktu.

“Terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia yang berada di sini (Turkiye) dengan 169 daripadanya merupakan pelajar universiti yang berdaftar di bawah MASAT, selebihnya adalah pelajar tahfiz serta sekolah tinggi.

“Kedutaan Malaysia yang berada di Angkara bersama Konsulat Jeneral di Istanbul juga telah diberikan maklumat berkaitan keberadaan pelajar serta telah mendapatkan nombor telefon untuk urusan pemberian bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Adib menasihatkan pelajar Malaysia di Turkiye untuk segera maklumkan kepada MASAT jika terlibat dalam apa jua bentuk kecemasan serta mendaftarkan diri di bawah persatuan itu demi keselamatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang mengegarkan kawasan tengah Turkiye serta barat laut Syria itu telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa sehingga hari ini.

Usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan untuk membantu mangsa yang terkesan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok