Genius! Ini senarai pelajar ACCA negara yang meraih 20 kedudukan terbaik di seluruh dunia
Sekumpulan pelajar dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) telah mengharumkan nama negara apabila mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA Disember 2022, tahun lalu.
ACCA dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 107,142 pelajar serata dunia telah menduduki peperiksaan tersebut dan daripada jumlah itu, pelajar negara ini berjaya meraih 20 kedudukan terbaik dengan beberapa pelajar menguasai tempat teratas.
Pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah Lim Hui Ning, Jeevanandini R Karunagaran, Muhammad Adib Mohamed Noor, Luqman Hirzan Masri, Ahmad Imanul Nor Afandi, Nur Afrina Khairul, Muhammad Faris Izzuddin Mohd Ridza, Lim Zhi Shao, Nicole Tan Ze Nee dan Kwong Pei Yee.
Ketua Portfolio ACCA Maritime Asia Tenggara, Andrew Lim melahirkan rasa bangga kerana ramai pelajar negara ini berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Memadailah untuk saya katakan, kelulusan ACCA meningkatkan kebolehpasaran seseorang kerana ia diiktiraf di seluruh dunia sebagai kelulusan paling berprestij dalam profesion perakaunan,” ujarnya.
Sementara itu, Hui Ning dari Sunway TES Centre Accountancy Excellence (CAE) yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik ACCA berkata, pencapaiannya itu adalah hasil sokongan pensyarah selain usahanya sendiri yang tidak mengenal jemu.
“Persediaan menghadapi peperiksaan, saya mula mengulang kaji dari hari pertama pembukaan semester.
“Saya akan memastikan membuat latihan menjawab soalan ACCA tahun lalu termasuklah yang tersedia di laman web ACCA.
“Sebagai tambahan, saya turut memanfaatkan Platform Latihan Peperiksaan ACCA untuk membantu membiasakan diri dengan format peperiksaan. Semua usaha ini meningkatkan keyakinan saya ketika menduduki peperiksaan,” ujarnya.
Bagi Muhammad Adib yang berada di kedudukan teratas untuk kertas Prestasi Pengurusan dan Percukaian menjelaskan, dia sangat bersyukur dengan pencapaian yang diraih dalam peperiksaan tersebut.
“Untuk berjaya ke tahap ini, saya amalkan beberapa tip kecemerlangan iaitu membuat persediaan peperiksaan dengan menjawab semula keseluruhan kit ulang kaji dan menelaah semua nota yang diberikan pensyarah dan nota sendiri,” kata pelajar dari INTEC Education College ini.
Manakala Muhammad Faris Izzuddin yang berada di tempat pertama untuk kertas Maklumat Pengurusan pula memberitahu, dia berasa seperti berada di puncak dunia apabila melihat keputusan peperiksaan lantas berterima kasih kepada semua guru perakaunan yang sentiasa memberi motivasi.
“Meneruskan pengajian dalam perakaunan adalah pilihan yang tepat kerana saya memang sukakan pengiraan.
“ACCA akan menjadi batu loncatan untuk saya membina kerjaya supaya dapat membantu keluarga mempunyai masa hadapan yang lebih baik.
“Saya percaya dengan kelulusan ACCA ini berserta kemahiran insaniah yang dimiliki, saya boleh memohon jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat dan memperoleh gaji memuaskan kelak,” jelasnya.
Sinar Bestari mendoakan semua pelajar ACCA ini akan terus cemerlang dan mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang, insya-ALLAH.