8 kaedah hadapi peperiksaan
Rasa tidak yakin, tertekan, takut gagal, murung dan kehidupan yang serabut antara perasaan negatif sering dihadapi calon peperiksaan.
Mereka sebolehnya berharap peperiksaan tersebut dilanjutkan pada tarikh tertentu kerana belum bersedia.
Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah menasihatkan semua calon memberi tumpuan kepada persediaan untuk berjuang dalam peperiksaan.
“Sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba.
“Justeru, pastikan hidup dalam keceriaan, tenang dan bersahaja dengan niat untuk berjaya di dunia dan akhirat, sekali gus membina keyakinan diri untuk terus menguasai bidang ilmu,” katanya kepada Sinar Bestari.
Sebagai membantu calon peperiksaan seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Cikgu Ahmad Safarman berkongsi lapan persediaan menghadapi peperiksaan untuk para pelajar amalkan.
1) Berfikiran positif
Gangguan emosi pasti tidak mengizinkan anda untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam peperiksaan. Senyuman manis dan keceriaan perlu diukirkan dengan persediaan yang rapi. Elakkan daripada memikirkan sesuatu yang negatif dan kesusahan. Buktikan kita boleh berjaya dan lubuk emas menanti.
2 Jaga kesihatan
Kesihatan yang baik merupakan faktor utama pencetus kejayaan individu dalam peperiksaan. Sekiranya anda mempunyai tekanan emosi, cepat berjumpa doktor apabila berasa demam atau sakit. Kesihatan meliputi pancaindera, pemakaian, tempat tinggal, pergaulan rapat dan kawasan persekitaran.
3) Pemakanan berzat
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Makanlah dari makanan yang baik yang telah kami berikan.” - (Surah al- Baqarah:57).
Maksud baik di sini ialah - sumber halal.
4) Cukup tidur
Setiap pelajar memerlukan tidur yang cukup antara lima hingga enam jam sehari. Kurang tidur menyebabkan pelajar rasa mengantuk, kurang ceria, tidak bermaya dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.
Imam Al- Ghazali Rahimullah membahagikan waktu seharian kepada tiga perkara iaitu 1/3 untuk belajar atau bekerja, 1/3 untuk rehat, tidur dan hobi dan 1/3 lagi ibadah, keluarga, kebajikan dan sosial.
5) Minum pagi
Minum pagi dan makan sedikit amat penting bagi murid sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Ia dapat memberi tenaga, menambah keupayaan fizikal dan mental.
6) Keselamatan diri
Jauhkan diri daripada aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecederaan. Elakkan kemalangan. Kecelakaan tidak pernah diundang.Tetapi kalau selalu cuai dan gopoh, anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya. Pada musim menjelang peperiksaan, lebihkan masa untuk berada di rumah.
7) Istiqamah beriadah
Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Bermain hingga penat akan mengakibatkan pelajar mengantuk untuk mengulang kaji pelajaran.
8) Elak gambaran negatif
Jangan memikirkan kesusahan, kegagalan dan yang merumitkan. Sebaliknya bawalah gambaran kecemerlangan dan kejayaan.
Mempunyai sedikit rasa bimbang memang perlu terutama bagi pelajar cemerlang meningkatkan usaha dan keyakinan. Lihatlah cerita-cerita orang yang telah berjaya supaya menjadi inspirasi kepada anda kelak. Orang yang berjaya sentiasa mencari peluang dan ruang untuk cemerlang tanpa mengharapkan usaha orang lain.