Ahsanul Baree mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan kerjasama masyarakat tempatan di lebih enam buah kawasan sekitar Perlis.
Ahsanul Baree mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan kerjasama masyarakat tempatan di lebih enam buah kawasan sekitar Perlis.

Graduan Keusahawan Kejuruteraan ceburi bidang agrotani, usahakan tanah terbiar

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
10 Feb 2023 03:44pm

Bidang pertanian boleh dianggap antara sektor penting yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Bahkan, sektor pertanian dijangka mendapat peruntukan yang lebih dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Begitupun, tidak ramai golongan muda yang ingin meneroka bidang pertanian kerana beranggapan ia memerlukan kerahan kudrat dan sektor pekerjaan 'kurang popular'.

Bagi graduan program Ijazah Sarjana Muda Keusahawan Kejuruteraan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ahsanul Baree Mat Ila, dia tidak berasa kekok apabila menceburi bidang pertanian.

Bermula 2018, anak muda yang berasal dari Kelantan itu mula melibatkan diri dalam bidang agrotani selepas menimba pengalaman sepanjang pengajian dan juga sebagai pembantu penyelidik.

Kata lelaki berusia 33 tahun tersebut, dia mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan kerjasama masyarakat tempatan di lebih enam buah kawasan sekitar Perlis.

“Pada mulanya, saya dan rakan kongsi memulakan penanaman cili sebelum beralih kepada tanaman sayuran terung bagi memenuhi permintaan pasaran setempat dan di kawasan Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan teknologi terkini dalam penanaman terung mengikut peredaran masa.

“Apa yang menarik melalui teknologi berkenaan ia dapat mengeluarkan hasil untuk dijual kepada para pelanggan,” katanya ketika ditemui ketika Program Alumni Engagement Series, baru-baru ini.

Khairul (kiri) menyampaikan tanda penghargaan kepada Ahsanul Baree (kanan) ketika Program Alumni Engagement Series di Institut Agroteknologi Lestari UniMAP baru-baru ini.
Khairul (kiri) menyampaikan tanda penghargaan kepada Ahsanul Baree (kanan) ketika Program Alumni Engagement Series di Institut Agroteknologi Lestari UniMAP baru-baru ini.

Ahsanul Baree menjelaskan, proses pengeluaran hasil selama tiga bulan itu bermula daripada peringkat menyemai anak benih sehingga ia dapat dituai sebanyak dua kali seminggu.

Tuturnya, bidang agrotani merupakan salah satu sektor penting dalam menjamin bekalan makanan terus berada di pasaran untuk pembelian rakyat negara ini.

“Saya kini sedang merangka mengusahakan tapak inkubator pertanian di bawah Institut Agroteknologi Lestari UniMAP di Sungai Chuchuh, Titi Tinggi, yang akan merealisasikan agenda jaminan makanan melalui kolaborasi pintar Triple Helix antara pihak industri, akademia dan kerajaan.

“Melalui usahasama ini, pelbagai pihak akan mendapat manfaat dari aspek ekonomi mahupun perkembangan teknologi lestari yang dapat mendokong agenda negara berkaitan jaminan makanan di masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Dr Khairul Anwar Abdul Halim berkata, program Alumni Engagement Series dapat membuka peluang kepada alumni-alumni untuk menyalurkan kepakaran mereka sekali gus menyumbang bakti kepada universiti mereka.

Jelasnya, melalui program terbabit, UniMAP dapat mengenal pasti alumni berkecimpung dalam pelbagai sektor untuk kembali bersama menjadi entiti aktif berkolaborasi dan berkongsi idea serta pengalaman dalam memacu kejayaan universiti di masa depan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp